Adakah keputusan saya ini betul?


Setelah 7 tahun hati ini ditutup

Assalamualaikum…

Saya berasal dari keluarga yang sederhana, namun pendidikan cukup dititik beratkan oleh keluarga. Saya pernah kecewa dalam bercinta sekali dan dalam tempoh itu saya kurang berminat untuk berkenalan dengan lelaki lain, kerana saya kurang percaya pada lelaki. Setelah hampir 7 tahun saya hidup bersendirian tanpa seorang teman lelaki istimewa, saya telah bertemu seorang lelaki yang begitu kuat berusaha untuk memikat saya. Mungkin Tuhan ingin menunjukkan bahawa tidak semua lelaki sama kepada saya. Lantas saya menerima dia, walaupun tidak sampai sebulan perkenalan kami dan kami terus mengambil keputusan ingin mendirikan rumahtangga 3 bulan yang akan datang dari tempoh ini. Ketika ini, hubungan saya dan kekasih saya baru menjangkau usia dua bulan. Pada awalnya semua ahli keluarga dan juga rakan-rakan saya menentang keputusan saya dan menyuruh saya berfikir semula. Tetapi setelah melihat kesungguhan kami berdua dalam merancang kehidupan dan masa depan kami maka keluarga saya bersetuju dengan rancangan kami. Selain itu, setelah keluarga saya sendiri melihat kekasih saya maka mereka juga bersetuju. Masalah yang saya hadapi sekarang ialah;

  1. Keluarga kekasih saya tidak bersetuju dengan keputusan kekasih saya untuk berkahwin dengan saya hanya kerana saya berasal dari negeri yang berbeza.
  2. Saya sekarang merasakan bahawa hubungan kami berdua rengang kerana dia sekarang berada di Kampungnya dan saya di sini (berjauhan).
  3. Dia juga jarang menghubungi saya apabila berada di kampung, sms tidak dijawap dan panggilan telefon tidak diangkat.
  4. Setiap kali saya ada masalah dan sakit dia seolah-olah tidak memperdulikan saya.
  5. Bila saya mengajak berbincang tentang perkahwinan kami, dia cuba mengelak.
  6. Adakah keputusan saya untuk berkahwin dengan kekasih saya langkah yang betul atau tidak?

Jawapan

Bismilahirahmanirahim.
Salamualaikum wbt, semoga diri saudari dan keluarga berada di dalam rahmat Allah. Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana menulis kepada ruangan ini untuk sama-sama melihat kesukaran yang saudari alami, dan insyallah dengan bantuan Allah kita akan cuba melihat perkara ini dan sama-sama berusaha ke arah jalan penyelesaian yang diinginkan. Walaubagaimanapun usaha saudari untuk meleraikan pemasalahan ini sangat-sangat diperlukan.

Saudari,
Saudari telah menyatakan beberapa perkara yang saya rasa elok saya nyatakan semula di bawah ini agar saudari dan saya sama-sama dapat melihat perkara yang sedang berlaku dan dapat memikirkan tindakan yang mungkin sesuai diambil oleh saudari sendiri.

Saudari ada menyatakan bahawa saudari dari kalangan keluarga yang sederhana dan mementingkan pendidikan. Tujuh tahun yang lalu saudari bercinta dengan seseorang, namun oleh kerana berlaku sesuatu sebab (saudari tidak menyatakan) maka saudari kecewa di dalam percintaan itu. Hasilnya saudari tidak mempercayai lelaki lagi lalu selama tujuh tahun saudari tidak mahu terlibat dengan sebarang percintaan. Namun kehendak Allah tidak siapa yang menolaknya lalu saudari dipertemukan oleh seorang pemuda yang beria-ia ingin mendekati saudari. Walaupun pada mulanya saudari menyatakan bahawa saudari tidak lagi mempercayai lelaki namun sebagai seorang insan saudari telah melanggar tekad yang saudari sendiri ikrarkan. Namun begitu saudari ada menyatakan perkara ini berlaku mungkin kerana Allah ingin menunjukkan bahawa tidak semua lelaki sama seperti teman lelaki saudari yang pertama dahulu.

Lalu saudari menerimanya dan dalam masa satu bulan sahaja saudari telah membuat satu ikatan janji dengan teman saudari yang baru ini untuk mendirikan rumah tangga dalam masa 3 bulan yang akan datang. Perkara ini telah ditentang oleh keluarga dan sahabat karib saudari sendiri namun berbekalkan keyakinan dan kepercayaan maka saudari bertekad ingin meneruskan juga maksud saudari. Lalu mereka semua bersetuju walaupun pada awalnya ada penentangan.

Namun, kini saudari telah menghadapi pemasalahan yang lain pula iaitu;

  1. Saudari telah merasakan bahawa hubungan saudari dengan teman saudari telah renggang. SMS yang dihantar tidak dibalas dan panggilan yang dibuat tidak dijawab.
  2. Dia telah mula mengelak dari berbincang tentang topik perkahwinan dan dia juga tidak lagi mempedulikan tentang saudari.

Kini saudari dalam delima dan keliru. Adakah saudari perlu meneruskan hasrat ini (berkahwin dengannya) ataupun tidak.

Selepas melihat apa yang berlaku, saya kira saudari perlu melihat kembali beberapa perkara. Pertama, tentang ikrar saudari terhadap semua lelaki.
Saudari telah menjarakkan diri saudari selama 7 tahun sebelum menerima orang yang kedua di dalam hidup saudari. Tidakkah ini memberi kesan terhadap perasaan dan tingkahlaku saudari terhadap lelaki? Bayangkan 7 tahun saudari meletakkan label ‘lelaki itu semuanya sama’ dan pada tahun yang ketujuh saudari berkenalan semula dan dalam masa 30 hari sahaja saudari telah meletakkan kepercayaan untuk menerima seseorang dalam hidup saudari. Pada fikiran saudari adilkan tindakan saudari meletakkan pemikiran bahawa ‘lelaki itu sama’ selama 2,520 hari, manakala ‘mungkin lelaki ini berbeza’ hanya dalam masa 30 hari sahaja. Tidakkah ini mempengaruhi tingkahlaku saudari apabila berhadapan dengan teman baru saudari ini.

Saudari juga ada bertanya, adakah tindakan merancang untuk berkahwin dengannya merupakan tindakan yang betul. Untuk itu cuba saudari melihat kepada soalan-soalan ini:

  1. Adakah saudari merasakan sesuai untuk berkahwin dengan seseorang yang saudari rasa telah mula dingin dan saudari juga merasakan ada kerenggangan di situ?
  2. Adakah saudari merasa selesa dan sesuai menerima seseorang yang sukar untuk dihubungi sama ada melalui SMS ataupun panggilan telefon?
  3. Adakah saudari merasa sesuai berkahwin dengan seorang lelaki yang sudah mula tidak mempedulikan sakit pening saudari kini.

Nah, sekarang saudari perlu membuat keputusan yang bijak dan rasional dalam hal ini. Rasional dari segi mempertimbangkan semula mengapa dan bagaimana kerenggangan ini boleh terjadi. Apakah punca-punca yang sebenarnya. Adakah atas sikap saudari sendiri atau sikap bakal tunang saudari. Saudari perlu melihat ini dengan tenang dan jelas. Saudari perlu memperincikan perlakuan dan sikap saudari sendiri dan juga perlakuan dan sikap bakal tunang saudari yang menjurus kepada hal ini terjadi. Bagi saya (mungkin saya salah) ikrar saudari yang pada mula-mula dahulu iaitu melebelkan bahawa semua lelaki ini sama mungkin mempengaruhi perlakuan dan tindakan saudari. Hal ini memerlukan saudari membuat muhasabah diri dan melihat apakah kesilapan yang telah dilakukan. Jika kesilapan itu memang berlaku dari diri saudari sendiri, adakah saudari rela untuk memohon maaf dan adakah saudari rela juga untuk menerima apa juga keputusannya nanti.

Dan jika saudari telah melihat kesilapan itu bukan dari sikap dan tingkahlaku saudari sendiri, maka mungkin kesilapan itu datangnya dari bakal tunang saudari sendiri. Jika ini berlaku setakat mana saudari boleh menerimanya dan memaafkannya banyak bergantung kepada kesediaan saudari sendiri. Akhir sekali, segala keputusan sama ada untuk meneruskan perhubungan ini atau tidak, banyak bergantung kepada kesediaan saudari untuk melihat kesilapan pada diri saudari sendiri dan sanggup untuk membetulkannya. Dan jika jelas bahawa saudari mengganggap bahawa kesilapan itu bukan datang dari diri saudari sendiri, maka saudari perlu pula bersedia untuk menerima ataupun menolak si dia. Penerimaan dan penolakkan ini bergantung kepada setakat mana persepsi saudari terhadap lelaki khususnya bakal tunang saudari sendiri, sama ada mereka ini posotif atau negative. Jika saudari masih mengekalkan persepsi bahawa semua lelaki ini sama, maka saya khuatir keadaan ini akan menyulitkan saudari untuk membuat keputusan yang rasional. Tetapi jika saudari dapat menerima bahawa lelaki itu unik dan pelbagai ragamnya, mungkin pintu untuk saudari menilai dan membuat perhitungan semula tidak sia-sia. Walaubagaimanapun, hendaklah diakui bahawa jodoh dan pertemuan adalah ditangan Tuhan, namun saudari perlu berikhtiar untuk mendapatkan jodoh yang serasi dan sesuai. Berikhtiar bukan hanya berusaha untuk mendapatkan, tetapi berikhtiar ialah dapat melihat kelemahan dan kekuatan diri serta dapat meningkatkannya kepada yang lebih baik.

Semoga saudari dapat mempertimbangkan keputusan saudari itu berdasarkan kepada pemikiran saudari yang benar-benar rasional. Rasional di sini membawa maksud bahawa saudari dapat melihat kekuatan dan kelemahan diri saudari sendiri secara adil. Jika ada kelemahan, saudari sudi memperbetulkannya, dan jika ada kekuatan saudari sudi untuk menggunakannya untuk kebaikan diri sendiri.

Semoga apa yang saudari cita-citakan akan tercapai. Kalau jodoh itu kuat, ia tidak akan ke mana, dan jika tiada jodoh, suami isteri boleh berpisah. Namun kekuatan jodoh seseorang bergantung setakat mana keinginannya untuk mendapatkan dan mengekalkan jodoh itu. Jika keinginan saudari kuat untuk jodoh itu bertemu, Allah akan memudahkan jalan itu, tetapi jika keinginan saudari hanya 50% sahaja, maka jalan untuk bertemu jodoh itu akan lebih sukar.

Sekian terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s