Anak lelaki rancang satukan semula ibu dan bapa selepas berpisah

Anak lelaki rancang satukan semula ibu dan bapa selepas berpisah

SAYA berusia 22 tahun dan pelajar tahun akhir di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA). Saya anak keempat daripada enam adik beradik dan anak lelaki sulung dalam keluarga.

Sewaktu berusia 15 tahun, ibu bapa saya berpisah. Memandangkan ini adalah tahun akhir pengajian, saya ingin sekali menyatukan mereka semula. Untuk pengetahuan puan, ibu bapa saya masing-masing berumur 51 dan 53 tahun.

Masalahnya, saya tidak tahu adakah ibu saya masih menyayangi ayah atau sebaliknya dan adakah ibu sanggup menerima ayah semula kerana punca mereka berpisah ialah sikap ayah sendiri yang malas bekerja dan kurang bertanggungjawab terhadap anaknya. Saya juga tidak tahu bagaimana hendak memberitahu hasrat hati saya menyatukan mereka kepada ibu bapa dan adik beradik saya. Untuk pengetahuan puan, adik beradik saya yang bongsu berusia 18 tahun dan yang sulung berusia 28 tahun.

Anak keempat


Wahai anak yang ingin membina kembali keruntuhan keluarga. ‘Filem’ yang anda mahu arahkan itu ialah filem yang baik, malah amat baik jika pelakon yang terbabit bersetuju memegang watak yang anda mahukan itu. Malangnya, bagaimana hebat dan murninya hasrat anda, belum pasti ia cantik di hati ibu dan ayah anda. Ini kerana kadang kala insan yang berpatah hati berprinsip ‘lukanya sembuh tetapi parut tetap ada, bila tersentuh pasti mudah berdarah kembali.’

Namun begitu, adalah amat baik jika anda menyatakan hasrat anda itu kepada kedua-dua ibu bapa anda. Mulakan babak dengan ayah dulu, jika ayah kata ‘ok’ baru mulakan episod kedua dengan ibu anda. Nyatakan dengan penuh santun dan ikhlas hasrat itu sebagai wakil kepada semua adik beradik anda. Lihat reaksi mereka.

Andai luka lama sudah sembuh dan mereka mahu membangunkan cinta yang patah tumbuh kembali, Alhamdulillah. Mudahlah tugas orang orang tengah selaku pengarah dalam drama keluarga bertajuk ‘kiambang bertaut kembali’ dan ‘buang yang keruh ambil yang jernih’ ini. Alasan untuk memujuk ibu ialah kerana mereka sudah berada pada usia emas dan akan melalui hari tua bersama pasangan sebagai teman berteman, sakit pening dan suka duka serta teman bercakap dan berkongsi rasa.

Paling penting, merawat rasa sunyi yang nanti menjadi penyebab penyakit mudah menyerang. Apatah lagi anak-anak pun sibuk memburu masa depan sendiri dan yang sudah berkeluarga sibuk dengan urusan keluarga sendiri. Nyatakan juga betapa bahagianya anak-anak yang belum berumah tangga apabila melihat ibu dan ayah bersama semula. Jangan lupa, dapatkan juga sokongan datuk dan nenek serta bapa dan ibu saudara agar drama anda kuat hingga tak mampu ditolak oleh ibu dan ayah anda.

Namun begitu, jangan menggunakan unsur mendesak atau menekan seperti, ‘kalau mak sakit nanti macam mana, kalau ada teman boleh juga tolong mak.’ Ayat seperti ini hanya melukai dan membayangkan bahawa ibu ini pada anak-anak, diibaratkan sebagai beban bagi mereka. Jangan juga membebankan perasaannya jika dia harus meninggalkan rumah andainya sudah berkahwin semula.

Sebab, semangat orang tua pada rumahnya sememangnya amat tebal. Apalagi rumah yang banyak nostalgianya. Atau dengan berkahwin semula, dia harus meninggalkan hobi yang paling dia suka atau pekerjaan biasa yang menggembirakannya. Ini akan membuatkannya sayu dan akhirnya terkilan dengan perkahwinan itu.

Oleh itu, berikanlah kepadanya jaminan bahawa agenda hidup hariannya tidak akan banyak berubah jika dia setuju berbalik semula dengan bekas suami.

Selain itu, adalah baik kita sebagai anak menghormati pendirian dan pegangan hidup yang sudah dibina ibu bapa. Misalnya ibu mungkin berasa sangat senang dan gembira dengan kehidupannya sekarang dan dia tidak mahu kehilangan atau terganggu gaya hidup berkenaan, maka jangan dipaksakan. Hormatilah pilihan dan ketetapan yang dikemukakannya.

Janganlah cuba merendah-rendahkan hal berkenaan, misalnya ibu tak mahu meninggalkan pengajiannya di surau di kariahnya andai kata terpaksa berpindah, atau dia tidak bercita-cita untuk berkahwin semula tanpa menjelaskan alasan yang kukuh.

Andai kata ibu bapa sudah menemui gaya hidup yang dirasakannya terjamin fizikal, mental dan emosi mereka, kita sebagai anak harus akur dengan pilihan mereka. Sesungguhnya jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Andai ada jodoh mereka akan setuju, andai kata tidak ada jodoh perancangan anda akan meleset. Terimalah itu takdir namanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s