Cintaku terhalang

SAYA berusia 23 tahun dan adalah seorang penjawat awam. Saya mempunyai teman lelaki yang bekerja di pejabat yang sama. Untuk pengetahuan, ayahnya juga pesara di pejabat yang sama.

Kami merancang untuk bertunang dan keluarga saya bersetuju. Namun, ayahnya menentang keras. Satu daripada sebabnya adalah sikap saya yang kasar. Tidak cukup dengan itu, cakap-cakap orang yang tidak boleh tengok orang lain senang juga menjadi faktor saya tidak disukai ayahnya. Hanya mereka yang rapat dengan saya saja tahu dan faham diri ini. Ya, saya memang kasar orangnya tetapi saya bukanlah biadap.

Hal ini sudah saya bincangkan dengan teman lelaki saya. Malah, macam-macam cadangan saya dan kawan berikan tetapi dia sendiri tidak berani untuk berdepan dengan ayahnya kerana ayahnya bekas tentera dan dia sudah dapat membaca tindakan ayahnya.

Ibu saya pula tidak jemu bertanyakan bila keluarga teman lelaki mahu datang berbincang. Bagaimana saya mahu menjawab pertanyaannya itu? Apa yang harus saya lakukan, khususnya cara mengendalikan ayah teman lelaki saya itu?

Gadis Buntu

JAWAPAN

SALAM buat Gadis Buntu dan didoakan tabah menempuhi ujian Allah SWT kerana kita hamba-Nya. Suka Umi menarik perhatian anda, bahawa cinta itu menghidangkan kita banyak resipi untuk dijamah oleh pemiliknya. Ada yang dihidangkan manis pada awalnya tetapi kecewa di penghujungnya. Ada juga yang diuji serba pahit pada awalnya dan menanti manis di hujungnya.

Ada cinta yang memerlukan pengorbanan paling mahal yang namanya perpisahan dan kematian untuk kita terus berasa nikmat dan pahitnya. Ada cinta yang bersimpuh di ribaan kita bahagianya tanpa perlu bersusah payah.

Tapi walau apa bentuk hidangan-Nya kepada kita, paling penting anda harus faham bahawa cinta adalah saat paling banyak Allah menguji dan syaitan berkerja keras untuk kita terus berdosa dengan-Nya dan orang tua, dengan keluarga dan dengan nasib dan takdir. Jarang sekali cinta lancar seperti berjalan di atas permaidani merah yang ditabur bunga.

Jika lulus ujian Allah SWT dan mampu menumpaskan iblis, biasanya buahnya bahagia yang sangat kudus dan syahdu. Tetapi bahagia itu ada yang tidak kekal, ada yang gagal namun terus meraih gembira dan tidak kurang pula putus cinta dan cinta terhalang yang mendorong mangsanya terjebak dengan pelbagai dilema hidup yang putih dan hitam, bergantung bentuk penyelesaian yang dipilih. Malah percintaan selalu menjadi ‘turning point’ atau titik tolak dalam lebuh raya perjalanan manusia.

Ini kerana dalam perjalanan ada orang menetapkan pelbagai matlamat. Ada yang matlamatnya hanya mahu sampai ke destinasi tanpa mengira apa kesulitan yang dihadapi di sepanjang jalanan. Apa orang yang menjadikan kelajuan sebagai matlamat, yang penting cepat sampai. Ada pula orang yang dalam perjalanan menghitung berapa jarak dan berapa tempat singgah. Begitulah hidup dan percintaan yang peta hujungnya di pegang Allah SWT.

Dalam situasi anda, biar pun terhalang oleh keluarga apa lagi ayah, anda masih patut bersyukur kerana anda masih sempat melalui anak sungai percintaan. Walau pun ada kemungkinan tidak sampai ke tepian atau ke muara lautan, namun hargailah anugerah Allah SWT kerana memberikan anda kesempatan untuk bercinta. Ada orang yang tidak pernah menjejak kaki lebuh raya percintaan langsung dalam hidup. Anda masih muda, besar kemungkinan anda tidak mampu untuk meredah jalan berliku dan berbukit yang keras seperti ayah kekasih anda.

Bayangkan jika kekasih anda, lelaki tidak mampu berkata apa-apa kepada ayahnya untuk membela cintanya pada anda dan membuat keputusan untuk mengambil anda sebagai pasangan hidupnya, mana mungkin anda sebagai orang luar, yang tidak pernah tinggal serumah dengan ayahnya ada kekuatan, ruang dan kesempatan, kekuatan untuk berdepan dengan ayahnya.

Ada kemungkinan anda ditemukan Allah SWT dengan pilihan yang tidak tepat buat saat ini. Maka Allah SWT tidak mengizinkan anda meneruskan percintaan itu maka dijadikannya kekasih anda tidak mampu menyelamatkan cintanya. Ini membuktikan kekasih anda tidak benar-benar cintakan anda dan besar kemungkinan juga tidak mampu menjadi pasangan terbaik buat anda nanti.

Dibimbangi pula anda yang berlebihan menyayanginya sedangkan dia hanya biasa-biasa saja dengan anda. Sebab itu dia tak berjuang mempertahankan cinta itu. Jika telahan ini betul, maka terimalah hakikat bahawa jodoh anda bukan dengannya. Berdasarkan senario cerita anda, nampak sungguh anda sudah dipandang kurang oleh pihak keluarganya. Jika sedari mula tidak disukai besar kemungkinan untuk berkahwin adalah tipis, dan andai kata berkahwin juga kemungkinan anda menjadi menantu yang kurang diterima atau mungkin menantu yang dianaktiri oleh pihak lelaki.

Jika ini berlaku, anda akan menyesali perkahwinan anda. Maka lebih baik anda tarik diri dan menyesal sekarang kerana ruang menemui jodoh yang lain dan mungkin juga lebih baik, masih terbuka luas. Tambahan pula anda masih terlalu muda untuk memikirkan soal berumah tangga.

Anggaplah cinta ini sebagai hadiah Allah SWT untuk memberi anda pengalaman kecewa ditolak dan pengalaman menelan cinta luka kerana keluarga. Memang pada awalnya sakit, tetapi anda akan dibimbing Allah SWT untuk sembuh dan ditemukan dengan pilihan yang lain yang mungkin lebih baik dan lebih mampu menerima kehadiran anda dalam keluarga mereka.

Bagi Umi, lebih baik luka sekarang daripada selepas berkahwin. Lebih baik jadikan episod cinta terhalang ini sebagai kesempatan untuk anda membuat muhasabah diri, membaiki diri, dan menambah ilmu dan kemahiran untuk menyempurnakan ciri-ciri gadis sejati yang menjadi idaman semua keluarga, daripada merintih kasih yang tidak direstui keluarga.

Pada lumrahnya anda tidak mampu mengubah persepsi orang pada kita dengan sekelip mata, tambahan pula orang yang sudah lanjut usia, ego dan melayan anak-anak ibarat ikan peliharaan dalam akuarium. Ikan tidak akan mampu melompat untuk menyelamatkan diri. Anda pula tidak dibenarkan membela diri dari luar akuarium berkenaan.

Langkah terbaik, berterus teranglah dengan ibu bapa dan kekasih anda bahawa anda tidak diterima keluarga lelaki dan belajarlah melalui selekoh luka ini buat sementara untuk berpisah dengan kekasih anda. Bangun dan binalah keyakinan bahawa duka tidak selamanya dan bahagia juga ada hadnya. Allah SWT berjanji apabila ada siang, pasti dan malamnya dan apabila ada suka mesti ada duka. Namun, mana mungkin duka selamanya dan mana mungkin malam selamanya.

Meyakini ini dengan sepenuh hati , buatkan keputusan yang bijak agar anda tidak terus menghina diri sendiri atau membela diri sendiri, sedangkan pembelaan itu tidak diadili dan menyalahkan orang lain yang dibimbangi dosa mengumpat itu tidak sempat dimaafkan oleh orang yang anda marah itu.

Bagaimana pun kuatnya hujah kita, apabila orang tak suka, kelak pada akhirnya kita juga yang kecewa. Nasihat Ibnu Taimiyyah…”jika ada masalah yang tidak selesai maka beristighfar kepada Allah SWT sebanyak-banyaknya, nescaya Allah SWT akan membuka jalan keluar.

Jika terasa sentuhan Allah SWT, maka ujian, cubaan dan bencana yang dihadapi menjadi seperti cucuran air hujan atau hembusan angin saja. Sebab itu Allah SWT berpesan dalam QS At-Taubah:40 “janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kamu.”

Pesan Umi lagi, jangan bimbang dengan kekurangan, kerana ada kalanya kekurangan itu mampu menjadi kesempurnaan. Misalnya ramai yang pintar dan luas pengalamannya seperti samudera, yang buta matanya tetapi hati dan pemikirannya mampu merubah dunia menjadi syurga seperti Abdullah ibn Abbas, Qatadah, Ummi Maktum dan ramai lagi.

Jangan sampai buta mata dan buta hati hanya kerana cinta terhalang ini. Kembalikan luka itu pada Allah SWT kerana Dia sudah menyediakan ubatnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s