Delima Menantu Berbeza Negeri

Menantu Berbeza Negeri

Saya telah diperkenalkan dengan seorang lelaki oleh pakcik saya kira-kira 3 bulan yang lalu. Dia sama satu kerja dengan pakcik saya. Dia merupakan lelaki keempat yang hadir dalam hidup saya. Percintaan saya sebelum ini tidak berakhir ke alam perkahwinan, saya sudah berputus asa dan saya serahkan urusan jodoh saya ditentukan oleh keluarga. Selama saya berkawan dengan dia, dia seorang lelaki yang baik dan ambil berat. Saya perhatikan dia bukanlah seorang yang sosial. Bila dia tak kerja, dia hanya terperap di rumah atau melawat adik-beradiknya. Walaupun baru kenal, tapi saya rasakan seperti sudah berkawan lama. Kami senang bercerita dan berkongsi masalah masing-masing. Dia pun sudah berjumpa dengan keluarga saya. Keluarga saya boleh menerima dia dengan senang hati. Ayah saya telah menetapkan padanya sekiranya dia betul-betul sukakan saya, dia hendaklah membawa keluarganya datang berjumpa dengan keluarga saya. Dia pun telah menyatakan kesanggupannya pada ayah.

Tapi, baru-baru ini sikap dia berlainan sekali. Dia dah jarang hubungi saya. Bila saya hubunginya tanya khabar, baru dia nak bercerita. Keluarganya terutama ibunya tidak menerima orang luar selain dari negerinya untuk dijadikan menantu. Dia berada dipersimpangan dilema antara saya dan keluarganya. Dia sukakan saya. Kalau keluarganya berkeras juga, dia memilih untuk hidup membujang.

Apakah yang perlu saya buat sekarang ini. Saya masih mengharap hubungan kami berakhir dengan perkahwinan. Adakah saya perlu undurkan diri dengan kebaikan dia?

Jawapan

Terdahulu saya ingin mengucapkan terimakasih di atas kesudian saudari meluangkan masa  menulis kepada ruangan ini untuk sama-sama melihat kemelut kesukaran yang sedang saudari alami. Semoga dengan cara ini dan dengan berkat keizinan Allah kita sama-sama berusaha ke arah mencari dan menemui jalan penyelesaian yang diinginkan. Apapun kesungguhan dan usaha saudari untuk meleraikan setiap permasalahan itu amat diperlukan. Kerana sesungguhnya sama-samalah kita mengingatkan kembali diri kita bahawa dalam dunia ini tiada masalah yang tidak boleh diselasaikan. Semuanya terserah diri setiap individu itu sendiri.

Saudari,

Saudari telah menyatakan beberapa perkara yang rasanya adalah elok saya nyatakan semula agar kita dapat melihat perkara yang sedang berlaku dan  dapat memikirkan apakah tindakan yang mungkin akan saudari lakukan.

Saudari ada menyatakan bahawa 3 bulan yang lalu, Pakcik saudari telah memperkenalkan saudari  dengan seorang lelaki. Dan ianya merupakan lelaki yang keempat dalam hidup saudari. Saudari juga menyatakan sebelum ini saudari pernah melalui alam percintaan tetapi semuanya berakhir dengan kekecewaan. Sehinggakan saudari telah berputus asa dan akhirnya menyerahkan urusan jodoh ditentukan oleh keluarga. Dikesempatan ini saya ucapkan syabas kepada saudari, kerana walaupun telah tiga kali dikecewakan namun sebenarnya saudari masih punya kekuatan untuk menerima cinta yang hadir seterusnya. Walaupun diawalnya tadi saudari ada menyatakan telah putus asa, tetapi saudari masih lagi mampu menerima kehadiran insan keempat mengisi kekosongan hati saudari. Inilah yang dikatakan ketentuan Tuhan…. “Manusia hanya mampu merancang tetapi Tuhan itu lebih mengetahui segalanya”.

Saudari juga ada menyatakan bahawa lelaki yang pakcik saudari kenalkan itu seorang yang baik serta mengambil berat dan saudari senang berkawan dengan nya. Dengan erti kata yang  mudah, saudari boleh menerima si dia dalam hidup saudari. Malahan keluarga saudari juga boleh menerimanya dengan mudah dan senang. Si dia juga telah menyatakan kesanggupannya membawa keluarganya berjumpa dengan keluarga saudari.

Namun, kini saudari telah dilanda permasalahan :

Perubahan sikapnya terhadap saudari iaitu jarang menghubungi saudari. Walaubagaimanapun akhirnya saudari telah mengetahuinya punca sebenar perubahan sikapnya adalah disebabkan ;   Keluarga dan ibunya tidak dapat menerima orang luar selain dari negerinya untuk dijadikan menantu. Oleh yang demikian dia dalam persimpanan dilema samaada untuk memilih saudari atau keluarganya. Sedangkan dia memang menyukai saudari. Lantaran itu si dia pula telah mengambil kata putus memilih hidup membujang kiranya keluarganya masih tetap berkeras dengan keputusan  mereka.

Persoalannya yang menjadi kemelut dibenak pemikiran hati dan perasaan saudari sekarang ini adakah perlu diteruskan perhubungan ini atau lebih baik mengundurkan diri. Untuk itu cuba saudari melihat kepada persoalan-persoalan ini :

  1. Pernahkah saudari berusaha untuk mengambil hati ibu dan keluarganya? atau sudahkah saudari memperkenalkan diri saudari sebagai seorang bakal menantu yang baik?
  2. Sejauh manakah dalamnya cinta si dia terhadap saudari? Menurut saudari, si dia sanggup membujang jika tidak dapat berkahwin dengan saudari. Sejauh manakah kebenarannya?
  3. Adakah saudari seorang yang penyabar menghadapi dugaan bersama? atau seorang yang mudah melenting dengan memberi lebih tekanan kepada bakal suami kelak?
  4. Adakah saudari sanggup berkorban demi cinta terhadap suami andainya nanti layanan keluarganya yang tidak seperti diharapkan?

Saudari, dalam menghadapi permasalah ini saudari perlu bijak membuat keputusan dan bersikap rasional. Ianya perlu saudari pertimbangkan dengan sebaiknya. Lihatlah situasi ini dengan jiwa yang tenang. Saya yakin saudari boleh membuat keputusan yang bijaksana kerana saudari sendiri telah melalui banyak pengalaman sebelum ini. Jadi fikirkanlah sebaiknya. Banyakkanlah berdoa, mohon kepada Allah berikan pertunjuk serta hidayah. Sesungguhnya Allah amat menyukai hambanya yang sentiasa hadir sujud mengadu dan bermohon padaNya. Allah itu maha pemurah lagi maha penyayang sifatnya. Dia tidak sombong dan tidak zalim selagi kita sentiasa ingat dan mohon pertolongan dari Nya.

Apapun saudari, hendaklah kita akui bahawa jodoh dan pertemuan itu di tangan Tuhan. Sebagai hambanya, perlu berusaha dan berikthiar untuk mendapat jodoh yang sesuai.   Saya sentiasa mendoakan semoga saudari dapat mempertimbangkan keputusan saudari itu berdasarkan apa yang saudari fikirkan secara rasional dan bijaksana. Ingatlah saudari, kekuatan jodoh seseorang itu bergantung  juga kepada kekuatan dan kesungguhan untuk mendapat dan mengekalkannya. Ibarat kata pepatah “Lautan api sanggup direnangi, gunung yang tinggi sanggup didaki”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s