Gadis buntu pilihan keluarga atau kekasih

Gadis buntu pilihan keluarga atau kekasih

Soalan:
SAYA pelajar kolej swasta terkemuka di Kuala Lumpur. Saya kini dalam dilema antara antara teman lelaki atau keluarga biarpun selama ini saya mengutamakan keluarga. Teman lelaki bukan rakyat tempatan dan kami berkenalan di internet. Sudah dua tahun kami bercinta dan dia jujur kepada saya. Sebelum ini saya bercinta dengan lelaki Melayu tetapi semuanya mempermainkan saya. Teman lelaki sekarang sudah menetap di Malaysia hampir lima tahun dan akan kembali ke negara asalnya tahun depan. Saya sayangkannya tetapi keluarga tidak membenarkan kami bersama kerana dia bukan senegara dan bukan anak orang berada. Dia berjanji akan kembali ke Malaysia selepas tiga bulan tetapi saya yakin pendirian keluarga saya tetap sama. Saya buntu memikirkannya.

Gadis Dalam Dilema,
Cheras, Kuala Lumpur

Jawapan:
Tahniah kerana anda selama ini menjadi anak yang baik dan menghormati ibu bapa. Ini tandanya anda calon ‘anak solehah’ yang ganjarannya syurga di akhirat, Insya-Allah. Sebagai anak yang selama ini mengutamakan keluarga dalam segala hal, maka anda sedang diuji Allah, sama ada anda melakukan semua itu kerana kepentingan anda atau kerana mengambil hati ibu bapa atau melakukannya kerana Allah SWT. Jika pendirian ini dilakukan kerana Allah SWT, maka tiada sebab kali ini anda tidak mampu mengekalkan sikap itu, sedangkan anda sudah dapat melakukannya selama ini. Jika ini terjadi, bermakna ketaatan anda kepada ibu bapa bukan kerana Allah SWT, tetapi kerana yang lain. Oleh itu semak semula hasrat anda untuk menentang kemahuan ibu bapa kerana apa yang alami adalah persoalan kehidupan seumur hidup, bukan untuk sehari dua.

Bercinta ini ibarat menanam pokok, jika dijaga ia akan subur dan sihat andainya pokok itu tumbuh di tanah yang sesuai, tetapi pokok cinta anda tumbuh di lereng gunung yang boleh tumbang pada bila-bila masa. Anda bercinta dengan warga asing dan peraturan mereka masuk ke sini ialah tidak boleh berkahwin dengan warga tempatan. Ini disebabkan mereka ada kontrak tinggal di sini pada tempoh waktu tertentu saja. Sampai masa, mereka mesti balik ke negara asal dan biasanya mereka tidak dibenarkan masuk lagi dalam tempoh terdekat, apatah lagi untuk tujuan berkahwin dengan penduduk tempatan.

Mereka maklum peraturan itu dan ada yang akan cuba sebaik mungkin memikat gadis tempatan untuk dijadikan alasan tinggal lebih lama di sini daripada tempoh dibenarkan. Malah, mereka akan berusaha ke arah itu untuk membolehkan mereka tidak perlu kembali ke negara asal. Mereka akan membuat anda berasa amat dihargai dan disanjung kerana mahukan tempat kekal di sini, dan hasrat ini lebih mudah dicapai melalui perkahwinan.

Jika gagal, mereka memikat pula gadis tempatan untuk tujuan seks. Sebab itu ramai gadis tempatan yang menjadi mangsa rogol dan ada yang menjadi penagih seks atas alasan cinta. Justeru, Umi berpendapat kembalilah kepada kemahuan ibu bapa kerana meneruskan percintaan tanpa restu ibu bapa seolah-olah menempah jalan ke neraka dunia. Malah, suka Umi ingatkan, jangkaan orang tua itu jarang yang meleset dan apabila mereka melarang, pasti ada kebaikan yang tersirat dalam sebalik larangan itu.

Yakinlah ini kerana cinta mereka terpahat sejak anda lahir hingga dewasa, sedangkan kekasih asing anda itu baru beberapa tahun mengenali anda, mana mungkin anda membalas jasa mereka dengan cara menentang larangan mereka. Malah, bagi setiap proses perkahwinan kita perlukan sokongan dan doa orang tua. Apalah maknanya dan mahalnya cinta jika kita gembira dengan melukakan pula hati orang tua kita yang banyak berjasa pada kita.

Sanggupkah anda menyenangkan hati orang yang tidak tahu dan pasti asal usulnya dan akan kembali ke negara asalnya? Pada masa sama, sanggupkah anda mengenepikan larangan orang tua? Oleh itu berhati-hatilah dalam memilih, apa lagi memilih teman hidup. Ingatlah, jika tergesa-gesa memilih dibimbangi melawan takdir dan hujungnya hanya menanti kekecewaan. Seperti pesanan seorang penyair terkenal ini: “Orang yang berhati-hati akan berhasil mendapatkan keinginannya, manakala orang yang terburu-buru mungkin akan jatuh tergelincir.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s