Isteri risau pasangan pentingkan duniawi, suka berahsia

Isteri risau pasangan pentingkan duniawi, suka berahsia

SOALAN

SAYA seorang isteri dan ibu yang sedaya upaya mahu mempertahankan rumah tangga ini. Malangnya, saya mempunyai suami yang tidak mahu solat. Malah selama enam tahun berkahwin, dia tidak akan solat jika saya tidak menyuruh. Sedari dulu lagi, apabila saya tidur di bilik atas, dia akan turun ke tingkat bawah rumah jam 1 atau 2 pagi untuk melayari internet. Dia hanya naik tidur pada waktu saya mahu bangun dan menunaikan solat subuh.

Kedua ibu bapa mendidik saya dengan cukup, agama dan pendidikan duniawi. Selepas berkahwin saya bertudung, tetapi dalam setahun ini saya buka tudung kerana suami tidak suka saya bertudung. Apa yang membimbangkan, sekarang saya juga terikut-ikut perangainya yang tidak mahu solat. Kami selalu bergaduh bukan saja kerana dia tidak solat tetapi juga kerana dia suka menyimpan rahsia sejak kahwin sehingga sekarang.

Jiwa saya tidak tenang, sedih dan mahu dilepaskan olehnya. Saya tidak mahu anak-anak mengikut apa yang tidak sepatutnya. Percakapan hanya akan menjadi pergaduhan. Ibu bapa saya memang suruh saya bersabar, tapi patutkah saya bersabar dengan perangainya yang kelihatan seperti tidak berubah? Saya tidak mampu untuk menegurnya lagi, meletihkan mental dan fizikal saya.

ANITA

JAWAPAN

Salam keberanian buat Anita. Sesungguhnya hidup ini adalah ibarat seorang musafir yang sedang bernaung di bawah sebatang pohon, yang sejenak kemudian pergi dan meninggalkan pohon itu. Jika inilah kehidupan maka kita disuruh untuk terus berusaha dan tidak boleh berhenti mencari Allah SWT dalam semua urusan sebelum dijemput-Nya.

Oleh itu, seperti pesanan Rasulullah, “Orang yang cerdik adalah orang yang mampu menakluk hawa nafsunya dan melakukan persiapan bagi tempoh selepas kematian, sedangkan orang yang bodoh adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan mengharap pertolongan Allah SWT.

Berdasarkan pesanan ini jelas anda adalah tergolong dalam kumpulan cerdik yang sedang dipengaruhi untuk menjadi orang bodoh, mendapat suami yang tidak pernah solat, kecuali bila disuruh dan melakukan perkara yang bercanggah dengan tabii hidup beragama dan berkeluarga. Dia seharusnya perlu sedar siapa pemimpin dan dipimpin dalam rumah tangga?

Anda sudah ditunjukkan perlakuan kotor yang jelas menyimpang daripada perintah Allah SWT dan bertentangan perintah agama. Tindakannya yang enggan solat, ditambah dengan sikap suka melayari internet pada jauh-jauh malam hingga ke awal pagi serta sikap berahsia, bukan pegangan yang harus ada bagi mereka yang seharusnya bergelar suami dan nakhoda rumah tangga.

Orang yang menyimpang daripada jalan Allah SWT tidak akan melakukan yang baik kecuali berkelakuan kurang ajar dengan manusia dan menunjukkan sikap bermusuhan dengan-Nya secara terang-terangan hingga tidak ada lagi perasaan malu berbuat dosa. Orang sebegini juga tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas sehingga menjadikan mereka sama seperti binatang melata dalam bentuk manusia dan berkelakuan seperti haiwan berbentuk manusia.

Bagaimana orang sebegini yang anda harapkan untuk jadi pemimpin anda dan mahu anda taat perintahnya dan diikuti kelakuannya. Sedangkan anda di didik secara Islam. Jika dia terus enggan tunduk dengan perintah Allah SWT, mana mungkin dia akan membekalkan anda dengan kebahagiaan, sedangkan dia jauh malah berpaling dari pemilik dan pembekal kebahagiaan itu sendiri. Lebih malang lagi, anda sudah terikut-ikut dengan perangainya menjauhi Allah SWT – membuka tudung iaitu aurat setiap wanita dan meninggalkan solat. Sampai bila anda harus begini demi terus menawan kasihnya?

Anda perlu sedar, Allah SWT sudah berjanji akan memberikan kebahagiaan itu kepada orang yang Dia kehendaki. Bagaimana anda harus terus sabar bertahun-tahun sedangkan dia tidak berusaha untuk membaiki dirinya sendiri sebagai hamba-Nya? Bagaimana dia akan membimbing anda dan anak-anak anda sedangkan dia sudah membuat Allah SWT murka. Ini tidak termasuk soal mendapatkan keberkatan dan rahmat daripada-Nya.

Jelaslah, apa yang dilakukannya sekarang jika terus berkelakuan sedemikian adalah menempah kesengsaraan di akhirat nanti yang berupa neraka jahanam. Dia hanya menambah kesengsaraan hidup dengan sikap tidak bertanggungjawab selain tekanan mental. Ini di jelaskan Allah “Dan, barang siapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.” (QS Thaha:124).

Oleh itu nasihat saya, puan harus mampu membuat perancangan hidup sendiri yang berteraskan agama dan membangun diri mengikut lunas agama. Jika anda bertanggung jawab dengan diri dan dengan Allah SWT, anda harus berani demi memperoleh akhir hidup yang baik. Sebab itu kita dipesan melalui QS Adh-Dhuha; “Dan, sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu dari permulaan.”

Jika anda tidak membuat pilihan cara hidup yang bersandarkan agama Allah SWT, memuliakan dan beribadat kepada-Nya, walaupun anda tinggal di istana yang paling megah, di rumah yang paling luas dan memiliki semua yang anda sukai, maka ketahuilah bahawa akhir kehidupan adalah pahit dan penderitaan yang sebenar-benarnya.

Andai ini terjadi bermakna sampai bila-bila pun, anda tidak akan memiliki kunci kebahagiaan. Jangan takut membuat pilihan dalam hidup ini demi syurga di dunia dan syurga di akhirat kerana Allah SWT sudah berjanji: “Sesungguhnya Allah SWT membela orang yang beriman (QS Al:Hajj:38).

Jangan takut menyelamatkan anak dan diri sendiri yang sudah lama menderita kerana jika kita mencari Allah SWT dalam hidup kita disediakan jaminan.

Dan, barang siapa yang beriman kepada-Nya nescaya Allah SWT akan memberi petunjuk kepada hatinya(QS At-Taghabun:11). Yakinlah janji Allah ini kerana Allah tidak mengizinkan kita menyiksa diri sendiri dalam hidup ini. Carilah cinta Allah jika cinta manusia membawa kamu menjauhi cinta Nya, kerana cinta Allah sangat abadi dan kudus. Hunuslah pedang semangat ituuntuk menebs pedihnya kehidupan ang sedang anda lalui. Amin….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s