Masalah hilang dara

Gadis bimbang kekurangan diri jejas perkahwinan

Soalan: SAYA sudah pun berusia 25 tahun. Saya mengenali S ini sudah pun lima tahun dan kami merancang untuk berkahwin. Tapi yang membuat saya takut adalah saya kehilangan dara sejak sekolah menengah lagi dan tiada sesiapa pun yang tahu mengenainya. Saya keliru adakah saya patut berterus terang kepada S? Saya bimbang jika dia mengetahui rahsia ini, dia akan tinggalkan saya. Andai saya berterus terang selepas kami berkahwin nanti, dia juga tidak mungkin dapat menerima diri ini. Saya tidak mahu berlaku perceraian antara kami. Tolonglah saya, puan. Saya sangat sayangkan S dan kini buntu memikirkan apa yang harus saya lakukan.

SITI


Jawapan: Siti yang serba salah, terima kasih kerana di beri Allah kesempatan bercinta. Sesungguhnya kesempatan ini antara saat-saat terindah dalam kehidupan. Sehingga bijak pandai cinta mengatakan lebih baik bercinta dan putus cinta daripada tidak sempat bercinta langsung sepanjang hidup. Dalam situasi ini anda adalah antara orang bertuah dipilih Allah SWT untuk berasa nikmatnya bercinta. Jika cinta ini anugerah Allah SWT, maka Dia yang mengizinkan anda mengikat percintaan anda dengan gerbang perkahwinan. Menyedari hakikat ini anda tidak perlu bimbang dengan permasalahan yang melanda diri anda pada masa silam dan atas apa alasan pun. Itu adalah perkara yang sudah lama berlaku. Jika anda beritahu dia pun, sudah pasti tidak banyak untungnya malah boleh merugikan. Jangan menganggap itu terlalu penting, kerana harga cinta bukan sekadar soal ada dara atau tidak. Kerana dalam dunia yang serba cepat dan serba bebas ini, yang mana gadis melakukan pelbagai aktiviti lasak yang kadang-kadang boleh menyebabkan perkara itu berlaku. Malah kadang-kadang faktor itu tidak dipertimbangkan sebagai paling penting untuk bahagia dalam perkahwinan masa kini, jika dibandingkan dengan zaman tahun 1920-an dulu yang mana kalangan gadis ini dunianya hanyalah di dalam rumah atau lebih dikenali sebagai gadis pingitan. Namun peredaran zaman, menyaksikan anak gadis perlu membabitkan dalam pelbagai kegiatan lasak. Dan sekarang, aktiviti sukan seperti lompat pagar dan gimnastik misalnya, boleh saja menyebabkan perkara itu. Begitu juga masalah lain seperti situasi teraniaya iaitu gadis dianiaya ahli keluarga sendiri atau terperangkap dengan gaya hidup yang agak bebas pada usia terlalu awal. Siti, jika dara menjadi syarat besar dalam satu-satu perkahwinan maka junjungan besar Nabi Muhammad SAW tidak akan berumah tangga dengan isterinya Saidatina Khadijah yang sudah pun bernikah dua kali sebelum menjadi isteri Rasulullah. Nasihat Umi, terimalah dia seadanya dan jangan membina kebimbangan sendiri yang tidak wajar. Andai kata anda tidak menceritakan hal ini selepas bernikah pun tidak mengapa kerana itu rahsia anda dengan Allah SWT. Mohonlah doa agar Allah SWT agar dapat menutup kesalahan kita semasa kita di dunia dan di akhirat nanti dengan cara tidak banyak melakukan perkara maksiat sebelum bernikah. Pada masa sama, serahkan perkahwinan anda kepada Allah SWT dengan cara membina hubungan yang rapat dengan Allah SWT dan berusahalah untuk mendapat doa restu ibu bapa secara berterusan. Ingatlah, restu ibu bapa adalah pelindung perkahwinan yang paling utuh. Kemudian yakinlah sesungguhnya Allah Maha Penyayang pada hamba-Nya yang menjaga hubungan dengan Pencipta. Lagipun nilai manusia sebenarnya adalah bersandarkan semua sifat terpuji yang dimilikinya dan ilmunya, kesabarannya, dermawan dan kehebatan akalnya. Sebab itu diingatkan Allah SWT bahawa “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu adalah orang yang bertaqwa (QS Al-Hujurat:13). Siti, untuk membangun jiwa bertakwa maka tambalah ilmu agama kerana Nabi ada berpesan: “Barang siapa yang Allah SWT kehendaki kebaikan kepadanya, maka Allah SWT akan pandaikan dia dalam agama.” Semoga anda yakin bahawa jodoh pertemuan dan ajal maut di tangan Allah SWT dan semoga berusaha memperbaiki diri agar bukan saja cantik di luar tapi cantik di dalam. Juga, cintailah si dia kerana Allah SWT.

Leave a comment