Permintaannya Keterlaluan

Permintaannya Keterlaluan

Assalamualaikum w.b.t.

Saudara/i

Sejak bertunang pada bulan Mei tahun ini, saya tidak habis memikirkan tentang situasi kewangan saya sehingga ia mengeruhkan serba sedikit hubungan saya dan bakal suami.

Masalahnya bermula sejak majlis merisik lagi. Disebabkan situasi kewangan keluarga saya yang agak ketat, kami telah meminta supaya majlis merisik dan tunang disatukan namun ia ditolak oleh keluarganya kerana ia “tidak menepati adat”. Maka terpaksalah kedua-dua majlis dilangsungkan dan menelan kos yang agak tinggi buat keluarga, namun, saya telah cuba untuk membiayai majoriti kos itu.

Yang saya agak terkilan kerana tunang saya tidak pun menghulurkan sedikit bantuan walau dia tahu keadaan kami. Saya tidak pernah meminta kerana saya tidak suka berbuat demikian dan saya tidak mengharapkan suatu jumlah yang banyak…setakat sponsor beli baju tunang atau tudung saja pun dah kira mencukupi, bersyukur. Duit hantaran pun keluarga saya tidak pernah menyebut dan terpulang kepada keluaga bakal suami.

Sekarang pula saya tengah memikirkan kos untuk majlis perkahwinan kami yang bakal diadakan pada tahun depan. Disebabkan kami tinggal di KL, kebanyakan rakan-rakan sepejabat serta kenalan perniagaannya akan ke majlis persandingan pihak kami.

Oleh kerana rumah keluarga saya terlalu kecil untuk menampung jemputan yang bakal hadir, kami telah putuskan untuk mengadakan majlis di dewan. Tapi apabila saya nyatakan dewan pilihan, bakal suami pula kata ia tidak cukup “grand” kerana dia mahu menjemput orang-orang penting perniagaannya. Orang-orang kampung pula sebanyak 2 buah bas yang akan dibawanya.


Saudara/i

Saya agak kecewa dengan sikap bakal suami saya. Saya bukan lah orang yang materialistik tapi kalau nak diikutkan, duit hantaran yang telah keluarganya tetapkan memang tidak mencukupi untuk membiayai walau separuh kos untuk mengadakan majlis ditempat yang lebih mewah itu.

Dan saya tidak menceritakan hal ini kepada sesiapa termasuk keluarga kerana tidak mahu membuat orang buruk sangka terhadapnya.

Apabila saya cuba utarakan hal ini dengan menyatakan pihak perempuan secara kebiasaannya menampung kos yang lebih tinggi, dia tercabar dan berkata apakah keluarganya tidak juga mengeluarkan kos untuk perkahwinan disebelahnya? Saya faham memang dia mengeluarkan kos tapi tidak setinggi di KL kerana dikampungnya, masih ramai yang boleh tolong bergotong-royong.

Saudara/i

Saya amat kecewa sebab dia yang mahukan kenduri yang besar-besaran di sebelah pihak saya namun langsung tidak firkirkan kos yang terpaksa kami tanggung. Dalam hal baju pun nak berkira…dia merancang untuk menempah baju melayunya manakala saya pula hanya mampu menyewa…dan ini pun dia tidak mahu memberi apa-apa pertolongan kerana baginya duit hantaran itu sudah mencukupi. Dia pula menyuruh saya meminta kepada ibu bapa saya….sedangkan dia tahu ibu bapa saya tidak dapat membantu sebanyak mana kerana mereka kini menghadapi masalah kewangan. Walaupun saya bekerja, gaji saya tidak lah begitu lumayan dan saya telah menghabiskan banyak daripada simpanan saya untuk pertunangan tempoh hari.

Minta jasa baik saudara/i memberi kata-kata nasihat kerana disamping pening memikirkan kos perkahwinan tahun depan, saya juga makin kecewa dengan sikap bakal suami dan ragu-ragu bagaimana situasi setelah berkahwin nanti. Dia seolah-olah tidak memahami keadaan saya walau telah cuba saya jelaskan dan dia sentiasa menganggap bahawa saya boleh mengharap kepada ibu bapa saya…tapi sebagai anak sulung saya tidak mahu terlalu membebankan mereka. Saya amat kecewa dan sedih kerana dia terlalu berkira dan pentingkan diri sendiri.

Segala nasihat saudara/i amat saya hargai dan izinkan saya dahului dengan ucapan terima kasih. Wassalam.

JAWAPAN

Asalamualaikum dan selamat menjalankan ibadah puasa.

Semoga diri saudari berada di dalam rahmat Allah. Kami mengucapkan terima kasih kerana menghubungi kami untuk berkongsi kesulitan yang saudari alami sekarang ini.

Insyallah kita akan bersama-sama berbincang dan melihat perkara ini dengan harapan saudari jugalah nanti orang yang penting untuk merungkaikan segala kesulitan ini. Perbincangan kita ini diharap dapat memberikan sedikit kekuatan kepada saudari untuk berhadapan dengan pemasalahan yang saudari hadapi kini.

Mengikut cerita yang saudari nyatakan di dalam e-mail saudari, saudari sekarang ini sedang berhadapan dengan kekecewaan dan kesedihan akibat sikap bakal suami saudari yang kurang memahami masalah yang saudari hadapi. Dalam ruangan yang terbatas ini marilah kita lihat kembali perkara yang menjadi dasar kesulitan yang saudari hadapi yang membawa rasa kecewa dan sedih saudari itu.

Pertama.

Saudari menghadapi masalah kewangan yang agak gawat berkaitan dengan tarikh perkahwinan yang semakin hampir menjelang iaitu pada tahun hadapan. Saudari menghadapi masalah ini kerana terpaksa berhadapan dengan perbelanjaan yang agak besar dan di luar kemampuan keluarga saudari untuk melaksanakannya. Satu perkara telahpun berlalu iaitu majlis merisik dan bertunang. Walaupun saudari sekeluarga merancang untuk melaksanakan majlis tersebut serentak untuk menjimatkan masa dan perbelanjaan namun atas desakan keluarga dan bakal suami dan ditambah kerana ’adat’ maka saudari terpaksa menurut rancangan mereka untuk mengadakan majlis tersebut secara berasingan. Hasilnya ialah simpanan wang saudari semakin berkurangan dan saudari rasa gelisah untuk menunggu perbelanjaan majlis yang akan datang pula.

Kedua.

Banyak perkara yang seharusnya ditentukan oleh pihak saudari, nampaknya telah diambil alih oleh pihak bakal suami. Sebagai contoh menentukan keputusan untuk menjalankan serentak majlis merisik dan meminang, menentukan di manakah kenduri patut diadakan dan kalau tidak silap saya, duit hantaran juga ditentukan oleh pihak bakal suami saudari.

Saya melihat melalui email saudari banyak keputusan dipengaruhi oleh pihak lelaki dan pihak saudari nampaknya banyak menurut kepada keputusan dan cadangan yang ditentukan oleh pihak lelaki. Mungkin saudari boleh memikirkan tentang perkara ini kerana haruskah orang yang banyak memberikan cadangan, komen seharusnya juga dapat memberikan bantuan mengikut apa yang dicadangkannya? Jika mereka tidak dapat memberi bantuan adakah cadangan dan komen mereka itu boleh diambilkira? Saya harap saudari dapat memikirkan tentang perkara ini.

Dalam e-mail saudari ada juga saudari menyatakan bahawa ‘saya tidak pernah meminta kerana saya tidak suka berbuat demikian’. Kalau saudari tidak suka meminta bagaimanakah pihak yang lain dapat mengetahui apakah yang saudari kehendaki. Mungkin saudari boleh memikirkan kembali perkara-perkara yang ingin saudari minta dan bagaimanakah caranya saudari perlu meminta. Meminta di sini termasuklah meminta pendapat, meminta pandangan, meminta nasihat, meminta bantuan sama ada material ataupun tidak.

Saudari juga ada menyebut tentang wang hantaran iaitu ‘pihak keluarga tidak pernah menyebut, terpulanglah kepada pihak keluarga lelaki’. Di sini saya kurang jelas tentang kedudukan wang hantaran kerana dalam surat saudari ada menyatakan bahawa belanja yang keluarga saudari telah belanjakan telah melebihi dari wang hantaran yang diberi dan pada masa yang sama saudari dan pihak keluarga seolah-olah ‘tidak menetapkan berapakah hantaran yang perlu dikeluarkan oleh pihak lelaki’. Saya kira keputusan untuk menetapkan jumlah wang hantaran terletak kepada keluarga saudari sendiri. Saya rasa saudari bersetuju jika saya katakan perkara ini perlu jelas kerana tidak elok jika ia disebut-sebut selepas majlis selesai nanti.

Tentang keputusan untuk buat majlis di dewan ataupun tidak, saya rasa (mungkin saudari juga bersetuju) pihak saudari mempunyai keputusan yang mutlak dalam hal ini. Dari segi logiknya yang menjemput jemputan bagi pihak saudari ialah keluarga saudari sendiri bukannya keluarga bagi pihak lelaki. Saya kira perkara ini perlu dijelaskan kerana majlis di KL adalah majlis saudari. Kecuali pihak lelaki hendak menjemput rakan-rakannya maka sudah tentulah perbelanjaan itu dikeluarkan oleh pihak lelaki sendiri (sekiranya pihak saudari memang tidak berkemampuan untuk melakukan itu). Saudari bolehlah membuat keputusan untuk sama ada untuk menyatakan perkara ini secara jelas dan terang ataupun hanya mendiamkan diri sahaja. Saya rasa saudari bersetuju kalau saya katakan jika perkara ini saudari jelaskan kepadanya sekurang-kurangnya dia maklum dan tahu tentang kedudukan saudari, tetapi sekiranya saudari mendiamkan diri mungkin dia tidak akan tahu apa yang tersimpan di dalam hati saudari.

Kini saudari ragu tentang masa depan saudari dengannya. Mengikut apa yang saudari nyatakan di dalam email saudari jelas terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai halangan-halangan komunikasi di antara saudari dengan bakal suami saudari. Dari email saudari juga dapat kita buat kesimpulan bahawa sikap berterus terang sangat perlu agar kedua belah pihak dapat memahami apa yang dialami sekarang ini. Beberapa langkah mungkin boleh difikirkan iaitu:

  1. Berterus terang tentang kedudukan kewangan saudari dengan bakal suami saudari.
  2. Perlukan bantuan bakal suami agar majlis tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar jika tidak majlis akan dijalankan mengikut kemampuan saudari sahaja.

Tentang rombongan dua bas, bincangkan ini secara terbuka dengan bakal suami tentang kemampuan yang ada pada saudari dan keluarga. Kecuali sekali lagi pihak bakal suami dapat bekerjasama membantu di dalam hal ini.

Saudari boleh memikirkan bagaimana saudari boleh meminta penjelasan perkara-perkara tersebut dengan bakal suami saudari. Saudari mempunyai niat yang baik dan diharap segalanya akan berjalan dengan baik. Semoga kita memohon kepada Allah, perkara yang terbaik kita lakukan akan menghasilkan hasilan yang baik juga. Insyallah kita boleh bincangkan lagi perkara-perkara yang berkaitan sekiranya saudari memerlukan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s