3 kali tangguh bertunang

PIHAK LELAKI MENANGGUH LAGI

Asalamualaikum…
Saya mempunyaai masaalah bersama bakal tunang saya. Kami sudah berkenalan 1 tahun 7 bulan. Mula-mulanya, dua-dua belah pihak sudah pun setuju hubungan kami berdua. Tetapi, dalam masa kami bercinta, sudah 2 kali belah pihak lelaki menanguh pertunangan kami dan sekarang sudah masuk 3 kali. Semasa bakal tunang saya, memberitahu yang pihak dia ingin tundakan pertunangan kami, saya terlepas cakap “putus saja macam ni, kalau nak ditangguhkan lagi”, tapi saya tak bermaksud dengan kata-kata itu. Bakal tunang saya pulak adalah seorang lurus bendul, dia mengambil kata-kata saya tadi dan memberitahu ibunya. Dan sekarang menjadi masaalahnya ibunya naik berang, untuk tidak datang lagi untuk meminang. Bakal tunang saya sudah mencuba memujuk ibunya, tapi gagal. Belah keluarga saya, sudah memaafkan apa yang belaku terhadap keluarga dia, yang sering menanguh pertunangan kami, dan masih menerima dia, tetapi cuma belah pihak bakal tunang saya saja yang mempunyai masaalah. Saya kesian kan bakal tunang saya, kerana dia yang dipersalahkan dari keluarga saya, tapi masih di maafkan. Bakal tunang saya juga, mempunyai masaalah dengan keluarganya, kerana sudah 14 tahun, keluarga dia tidak endahkan dia dari sejak zaman dia persekolahan. Keluarga saya membuat cadangan, untuk membuat pernikahan kami tanpa keluarga bakal tunang saya. Apa pendapat puan/tuan dengan cadangan keluarga saya? Dan apa nasihat puan/tuan?

Sekian terima kasih. Saya sangat memerlukan cadangan, pendapat dan nasihat dari anda.

Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum wbt.

Semoga diri saudari sekeluarga di dalam rahmat Allah. Kami mengucapkan terima kasih kerana saudari sudi untuk berkongsi kesulitan yang saudari alami dengan pihak kami. Insyallah semoga kita sama-sama dapat meleraikan kekusutan yangsaudari alami itu.

Apa yang saya fahami dari pernyataan saudari ialah saudari sekarang merasa serba salah untuk meneruskan pertunangan saudari dengan bakal tunang sama ada melalui persetujuan keluarga dari pihak lelaki ataupun sebaliknya iaitu meneruskan juga pertunangan dengan ‘membelakangkan’ mereka.

Marilah kita sama-sama melihat keseluruhan peristiwa yang menyumbang kepada keputusan yang saudari akan ambil itu.

Saudari telahpun berkenalan selama lebih kurang 1 tahun 7 bulan dengan bakal tunang saudari. Saya kira masa perkenalan ini telah cukup membuatkan saudari berdua untuk membuat keputusan mengikat tali pertunangan. Pada ketika ini juga niat suci saudari itu telah mendapat persetujuan kedua belah pihak. Syabas, suatu niat yang baik ke arah satu ikatan yang suci.

Masalah mula muncul apabila dua / tiga kali tarikh pertunangan telah ditangguhkan oleh pihak lelaki. Oleh kerana saudari tertekan terhadap apa yang terjadi maka saudari terlepas cakap ….putus saja macam ni… kalau nak ditangguhkan lagi… .Walaupun seolah-olah saudari semacam melepaskan perasaan yang tidak disengajakan, namun perkara tersebut telah diambil serius oleh pihak keluarga tunang saudari.

Masalah sekarang ialah:

  1. Ibu tunang saudari atau bakal emak mertua saudari naik berang.
  2. Bakal tunang saudari cuba memujuk ibu namun tidak berhasil.
  3. Pihak keluarga saudari telah memaafkan kesalahan pihak keluarga lelaki.
  4. Kini keluarga saudari bercadang untuk meneruskan pertunangan tanpa restu dari pihak keluarga bakal tunang saudari.

Saudari, mari kita sama-sama melihat perkara-perkara yang telah berlaku ini dan mengapa agaknya ia berlaku. Akibat tarikh pertunangan sering ditunda saudari telah melepaskan perasaaan dengan kata-kata di atas. Dan oleh kerana sifat tunang saudari ialah seorang lurus (bagi saya sifat terbuka begini sangat dipuji) maka perkara tersebut telah disampaikan kepada ibunya dan hasilnya bakal ibu mertua saudari naik berang. Akibat kemarahan inilah maka segala-galanya seolah-olah ‘pause’ atau terhenti sebentar.

Bakal tunang saudari cuba memujuk hati ibunya tetapi tidak berhasil. Mengapa tidak berhasil? Cuba kita fikirkan sejenak, pada pandangan saudari kemarahan itu disebabkan apa? Adakah kemarahan itu ditujukan kepada anaknya atau kepada siapa? Saya kira saudari boleh memikirkannya. Saya kira menangguhkan tarikh pertunangan adalah hak pihak keluarga lelaki. Tetapi bersabar dan bertenang dan bersikap proaktif terhadap perkara yang terjadi adalah hak saudari. Dan sekiranya saudari merasakan bahawa kenyataan saudari yang tidak disengajakan itu itu tadi dapat memberikan kemarahan kepada bakal emak mertua saudari apakah tindakan yang sewajarnya yang saudari boleh lakukan untuk menjernihkan kembali keadaan.

Perkara 3 di atas menyatakan pihak saudari telah memaafkan pihak keluarga lelaki. Perkara apakah yang telah pihak keluarga saudari maafkan? Saya nampak ada beberapa perkara yang saudari perlu renungkan kembali situasi yang terjadi. Mungkin saudari setuju kalau saya katakan pihak lelaki boleh sahaja menangguhkan tarikh pertunangan disebabkan pelbagai hal yang mungkin saudari juga tidak mengetahuinya. Saya sekali-kali tidak menyebelahi pihak keluarga tuning saudari tetapi apa yang saya nak sampaikan ialah tentang hak menangguhkan tarikh pertunangan tersebut. Jika demikian halnya apakah kesalahan yang telah pihak keluarga lelaki lakukan untuk mereka perlu memohon maaf dari pihak keluarga saudari?

Perkara keempat ialah cadangan pihak keluarga saudari untuk meneruskan sahaja ikatan tersebut tanpa restu dari keluarga pihak lelaki. Dalam hal ini saudari perlu memikirkan buruk dan baik selepas tindakan ini dijalankan. Mungkin saudari setuju jika saya katakan untuk mendirikan mesjid tak usahlah kita meruntuhkan masjid yang lain. Relakah saudari berkahwin dengan bakal suami yang akan membelakangkan ibu dan bapanya? Kalaulah ibu dan bapanya sendiri boleh dibelakangkan adakah saudari yakin bahawa suatu hari nanti dia tidak akan membelakangkan ibu dan bapa saudari sendiri? Bukankah perkahwinan itu menyatukan di antara dua keluarga yang berbeza. Tidakkah saudari ingin melihat bakal suami saudari mempunyai keluarga yang sempurna sebagaimana saudari juga inginkannya? Walaupun pada pernyataan saudari ada mengatakan bahawa ibu dan bapanya seolah-olah mengabaikan bakal suami saudari. Pengabaian itu adalah dosa ibu dan ayah terhadap anaknya. Apalah maknanya dosa yang telah dilakukan itu ditambah pula dengan dosa yang lain iaitu derhaka anak terhadap ayah dan ibunya.

Saudari, saudari akan menjadi ibu yang baik terhadap anak-anak saudari nanti. Saudari juga akan menjadi anak yang baik terhadap ibu dan ayah dan juga ibu mertua dan ayah mertua saudari. Dalam agama kita, taraf ibu dan ayah mertua adalah sama dengan ibu dan bapa kita sendiri.

Eloklah langkah pertama ke gerbang perkahwinan itu dimulakan dengan cara yang baik dan elok. Kekeruhan yang berlaku ini adalah kekeruhan yang disebabkan oleh tangan-tangan kita sendiri. Kalaulah saudari dapat melakukan sesuatu dengan menjernihkan kembali keadaan untuk membuka lembaran yang baru di dalam perhubungan ini, alangkah baik dan mulianya. Saya percaya saudari ingin sekali melihat keluarga yang saudari wujudkan itu nanti adalah keluarga yang bijak, bahagia dan harmoni yang saudari dan bakal tunang saudari sendiri yang akan melakukannya. Bukannya keluarga yang kebahagiaannya ditentukan oleh orang lain.

Kalaulah saudari merasakan kemarahan bakal mertua saudari itu adalah disebabkan kenyataan saudari yang tidak disengajakan itu tadi mungkin saudari boleh memikirkan bagaimana ini dapat diselesaikan. Banyak pilihan yang boleh saudari fikirkan. Mungkin saudari boleh bertemu dengan bakal ibu mertua saudari dan menyatakan kesilapan saudari dalam mengucapkan kata-kata itu. Kita lihat dulu hasilnya, kalau berjaya alhamdulillah, kalau tidak mungkin ada perkara lain lagi yang perlu difikirkan. Saya percaya saudarilah orang yang penting di dalam membuat keputusan sama ada untuk meneruskan kekeruhan dan melupakan segala kebahagiaan yang akan datang atau mengubah keadaan kepada yang lebih jernih dan akan menggembirakan saudari, bakal suami dan orang lain yang terlibat. Untuk bertindak kearah kebaikan adalah pahit kerana ia akan menyentuh perasaan saudari sendiri tetapi itu adalah di antara pilihan yang ada. Pilihan ini perlukan pengorbanan dan ketabahan saudari.

Sehingga ini semoga saudari mendapat sedikit jalan untuk membuat keputusan yang terbaik untuk saudari dan keluarga saudari. Kami sentiasa berdoa agar kekuatan dan kesejahteraan berpihak kepada saudari.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s