Pintar tetapi bergelumang dengan dosa maksiat

Ibu risau tiga anak lulusan universiti bergelumang dosa dan noda

SAYA seorang ibu yang sudah membesar empat anak. Namun, tiga daripada anak saya tidak menjadi, bukan dari segi akademik tetapi dari segi sahsiah sebagai orang Islam. Anak sulung saya perempuan, baik, berpendidikan dan sudah berkahwin.

Anak kedua, lelaki tidak pulang ke Malaysia sejak tamat belajar bertahun-tahun dulu. Mulanya, dia hendak kahwin dengan gadis Amerika Syarikat waktu belajar tetapi saya halang kerana mahu dia belajar dulu. Sejak itu dia tidak balik. Daripada anak saudara yg menuntut di sana, saya tahu tahu, kehidupannya bukan lagi seperti kehidupan orang islam.

Anak lelaki kedua, menghamilkan teman wanitanya sebelum mereka berkahwin. Manakala yang paling merunsingkan saya anak bongsu perempuan. Dia lari mengikut teman lelaki. Dia kerap bertukar teman lelaki, dan bila saya dan bapanya marah menasihatkan, dia lari. Bila dipujuk, dia meletak syarat kalau hendak dia balik , terima teman lelakinya.

Puan, bukan saya tidak berkenan pada teman lelaki itu, tetapi saya mahu mereka buat dgn cara betul,. Berkahwin dan hidup normal macam org islam lain. Tetapi bila ditanya duit selalu tak ada, tetapi anak kita diangkutnya sana sini dan anak kita itu pun mengikut saja. Saya sudah habis cakap puan, ayahnya juga anak bongsu itu terlalu degil. Hendak bagi duit saya kahwinkan mereka, saya pun tak berduit.

Depan mata saya mereka selamba bergurau senda, cuit sana sini pegang tangan, tampar-tampar, ya allah.. tuhan saja yg tahu marahnya saya. Tetapi itulah, mungkin saya terlalu sayangkan anak. Bila cakap, dia lari, saya susah hati. Jadi saya ikutkan saja rentaknya.

Adik beradik saya puas menegur, tetapi saya diamkan saja, sebabnya saya sudah tidak tahu hendak buat apa. Daripada empat anak, semuanya bagus, semuanya lulusan universiti semuanya kerja baik-baik tetapi itu dunianya saja. Hanya seorang saya harap menjadi anak soleh bekal saya ke akhirat, tiga lagi hanya berjaya di dunia.. di sana nanti tak tahulah saya.

Puan, saya dan suami sudah tidak tahu hendak buat apa.

Puan Alina


JAWAPAN

Puan Alina yang sedang dirundung kebimbangan. Anak adalah amanah yang dianugerahkan kepada setiap pasangan yang bertuah. Puan adalah termasuk dalam kategori itu. Disebabkan anugerah tersebutlah maka hingga kini puan masih bersusah hati dan bimbang keterlaluan. Puan, kita

diwajibkan memberi apa yang termampu untuk anak jadi anak dan jadi insan yang memahami konsep ‘anak’ dan konsep ‘orang tua.’

Dilema yang puan hadapi sekarang ialah bila anak bukan saja gagal jadi anak yang menyejukkan mata memandang kepada orang tua, tapi lebih penting lagi gagal menjadi hamba Allah SWT yang taat kepada Penciptanya, iaitu jawatan teragung yang di nobatkan Allah SWT bagi setiap yang bernama manusia.

Di sinilah bermulanya episod yang menjadi punca kegelisahan puan. Sebagai seorang ibu dan ayah, anda sudah menjalankan tugas kepada anak-anak puan sehingga mereka berjaya membina kehidupan dunia, tetapi gagal mencari kehidupan akhirat. Keadaan ini mungkin disebabkan penekanan pendidikan yang diterima dan latihan di awal usia tidak lekat di hati dan tidak jadi diteruskan setelah mereka dewasa.

Andainya puan dan suami mendidik dan mengajar mereka mengenali Allah SWT dan mengajarkan asas-asas agama yang secukupnya sejak mereka kecil lagi, maka tugas mendidik mereka sudah selesai.

Puan tidak perlu bimbang atas apa yang mereka lakukan dalam hidup mereka setelah mereka dewasa. Ini disebabkan, dalam usia dewasa, mereka menanggung dan bertanggungjawab sendiri ke atas apa saja yang mereka lakukan di hadapan Allah SWT nanti. Kita ibu bapa tidak perlu bimbang lagi atas balasan Tuhan di akhirat untuk mereka. Apa yang perlu ibu bapa lakukan hanyalah terus berdoa agar mereka diberi hidayah dan taufik untuk menyembah Allah SWT setiap masa.

Ingatlah, doa ibu dan ayah sangat cepat dimakbulkan Allah SWT. Janganlah membenci mereka atas apa yang mereka lakukan. Cadangan saya ialah puan hanya menerima cubaan Allah SWT ini dengan lapang dada dan terus membina hubungan baik dengan mereka, kerana tugas kita sebagai ibu bapa dan sebagai hamba-Nya, hanya menjaga hubungan dengan mereka sebagai hubungan kemanusiaan.

Dengan lain perkataan, terimalah mereka seadanya sebagai anak yang disayangi. Hormatilah mereka sebagai anak dan sebagai hadiah daripada Allah SWT. Janganlah dikeruhkan hubungan dengan mereka hanya kerana mereka belum mentaati Allah Yang Esa.

Keadaan ini terjadi mungkin kerana mereka masih muda, masih mabuk dunia , masih merasa kehadiran Allah dalam hidup belum penting. Mereka belum diuji Allah SWT dengan ujian yang akan membuat mereka tersedar yang Tuhan itu hebat dan Maha Berkuasa.

Sebagai hamba Allah jadilah ibu bapa yang pemaaf, mungkin kelakuan anak itu sebahagiannya disebabkan kelemahan dan kecuaian kita pada masa silam. Terimalah kekurangan dan kesilapan kita sebagai mana yang dipesan Allah SWT : “Jadilah kamu pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf serta berpalinglah dari orang – orang yang bodoh.” (QS, Al-A’ raf:199).

Puan, adalah sangat tidak wajar puan dan suami terus mencari kelemahan dan kesalahan yang terdapat pada anak-anak yang puan tidak dapat terima, kerana mustahil tak ada kelakuan dan jasa baik mereka pada puan dan suami sepanjang mereka menjadi anak-anak puan. Carilah kebaikan mereka selama ini, dan belajarlah memaafkan mereka.

Janganlah mengharapkan anak menjadi baik dan sempurna jika kita terus melihat mereka sebagai bermasalah dan menyulitkan ibu bapa. Tidak ada orang yang sempurna dalam semua hal puan. Dan jika mereka mahu berubah pun jangan mengharapkan perubahan berlaku dalam sekelip mata. Lagi pun jika puan mengharapkan mereka berubah maka layanlah mereka dan terimalah mereka dengan positif.

Jika puan memperlihatkan sikap positif mereka akan rapat dengan kita dan kita akan lebih mudah berdoa untuk mereka. Lagi pun jangan terus menghukum mereka , kerana ulama ada berpesan: “Lebih baik menegur dengan baik segala keburukan orang ada di depan mata daripada kita kehilangan mereka.”

Selagi mereka sanggup bersama kita maka layanlah mereka sebaiknya sebagai seorang anak, sekurang-kurangnya kita menjaga hubungan baik sesama manusia, dosa yang mereka lakukan dengan Tuhan kita serahkan pada Allah yang menilai dan menentukannya . Kita tidak layak membenci mereka dan menyisih diri dari mereka apa lagi menghukum mereka. Siapalah kita nak melabel anak kita, sedangkan kita pun belum tahu amalnya di terima Allah SWT atau tidak, tempat kita pun belum pasti di sisi-Nya seperti yang diingatkan oleh Allah SWT : “Maka, janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertaqwa.” (QS An-Nisa’:94).

Akhirnya pesanan saya janganlah kerana beberapa kesalahan atau dosa yang dilakukan oleh anak kita menutup mata dan hati kita untuk melihat kebaikan anak yang sangat banyak, nanti mereka akan jauh dari kita nanti. Lebih baik terus terima mereka dengan lapang dada dan terus meyakini bahawa satu hari nanti mereka akan bertemu dengan pintu taubat mereka, kerana Allah SWT sangat penyayang dan Maha adil dalam mengurus hambanya.

Jika puan baik dengan mereka ,anda akan ampu mengubahnya, kerana kita tidak mungkin mengubah manusia mengikut apa yang kita mahukan. Oleh itu akurlah melalui hidup ini dengan penuh yakin Allah akan memberikan petunjuk kepada mereka hasil dari doa kita sebagai orang tuanya yang tidak akan pernah jemu berdoa untuk mereka sehingga mereka mampu mendoakan kita nanti…Mohon dihilangkan prasangka buruk, memusuhi dan bosan terhadap sikap semua anak-anak puan , walau bagaimana pun perlakuan mereka kerana darah yang mengalir di tubuh mereka adalah hasil air susu kita, ibunya. Lalu yakinkanlah di hati puan yang anak ini akan dianugerahkan kebaikan oleh-Nya. Amin.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s