Resah seorang Abang

Bimbangkankan perubahan sikap ibu, adik selepas kematian bapa

SOALAN

SAYA berumur 20 tahun dan anak sulung daripada empat adik beradik. Tahun lalu, saya terbabit dalam kemalangan ngeri dan koma dua minggu. Rakan yang datang melawat, tidak percaya saya boleh hidup selepas kemalangan itu. Beberapa bulan kemudian, ayah pula sakit dan meninggal dunia. Saya menangis dan tidak percaya bahawa ayah tersayang sudah tiada lagi kerana arwah adalah seorang yang cergas, kuat bersenam dan amat menjaga makan minumnya tetapi meninggal pada usia muda. Selepas ketiadaan ayah, saya dapati adik-adik sukar mendengar nasihat baik daripada ibu mahu pun saya. Ibu pun ada kalanya tidak mengendahkan rungutan saya yang bimbangkan masa depan adik-adik.

Saya runsing kerana mereka bakal berdepan peperiksaan penting iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), sebaliknya leka bergosip, menonton televisyen, biadab dengan ibu, termasuk menggunakan perkataan kasar. Mereka juga degil biarpun berulang kali sudah diingatkan bahawa ketiadaan ayah menyebabkan kami, anak-anaknya perlu berusaha demi masa depan sendiri. Apa yang menyedihkan, mereka tidak menghormati ibu mahu pun saya, seolah-olah kami tidak wujud. Apa yang boleh saya lakukan?

Cokey, Kedah.

JAWAPAN

// //

Cokey yang mempunyai visi. Kehidupan adalah pentas perjuangan dan anda adalah seorang daripada pelakonnya. Dalam perjuangan ini, kita pasti akan dipertemukan dengan pelbagai halangan dan cabaran. Apa yang berlaku, anda sedih dan sakit dengan cabaran berkenaan. Cabaran anda mungkin bermula daripada diri sendiri, adik-adik, ibu yang tidak memihak kepada anda dan adik yang tidak menghormati anda.

Lebih mengecewakan, adik-adik yang tidak merancang masa depan mereka. Semua ini membuat anda sakit hati, sakit kepala dan paling sakit, untuk menjalani kehidupan yang tidak seperti anda mahukan. Nasihat Umi, janganlah bersedih kerana anda sudah pernah melalui kesedihan itu sebelum ini. Jika terus bersedih dengan kematian ayah anda, walau sepanjang mana pun kesedihan itu, ia tidak akan memberi manfaat apa-apa pun buat diri anda mahu pun keluarga.

Malah, sesedih manapun, hakikatnya ayah anda tidak akan hidup semula. Oleh itu, hidup perlu diteruskan dalam keadaan apa pun. Anda tidak perlu mengharapkan rasa hormat adik beradik dan anda juga tidak perlu marah-marah kerana semua itu tidak akan membuat adik anda mendekati anda dan melakukan apa juga yang anda hajatkan.

Berkaitan ibu pula, berilah dia ruang merawat hati dan melatih diri untuk hidup berdikari tanpa suami. Seperti anda, mereka juga sedih dan mahukan kejayaan tetapi mungkin mengikut cara mereka sendiri. Apatah lagi selepas ketiadaan ayah, mereka pasti akan berusaha. Anda tidak perlu marah-marah. Lebih baik bina hubungan rapat dengan mereka dan jalin kasih sayang.

Ini kerana sudah pasti mereka mahukan perhatian anda dan sebagai abang, anda menjadi tabung kasih sayang mereka, tetapi jika anda mengasingkan diri, melayan mereka dengan rasa marah dan sakit hati, ia tidak akan membuat mereka berjaya juga. Cubalah cara lembut, pujian, dorongan dan sentuhan kasih sayang, Insya-Allah mereka akan lebih mudah menerima. Jadilah abang yang murah dengan sentuhan dan dorongan. Pasti adik-adik akan lebih mudah menerima anda sebagai abang dan sahabat kerana umur mereka adalah umur remaja. Semua remaja di dunia ini tidak suka dengan kekerasan. Jangan terlalu menggambarkan kesusahan dan kesempitan dalam dada dan fikiran kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bukankah Kami sudah melapangkan dadamu.” (QS Al-Insyirah:1)

Pesanan ini mahukan semua hamba Allah menjalani hidup bersandarkan Allah SWT, menjalani kehidupan menurut perintah Allah SWT dan selepas berusaha, menyerahkan hasilnya kepada-Nya. Terimalah semua yang ada di depan anda sekarang dengan lapang dada dan teruskan hidup harian anda dengan menjalankan tugas sebagai hamba Allah di samping jawatan lain di dunia ini dengan berpegang pada peringatan Allah dalam surah Al-An’am ayat 125 yang bermaksud: ”Barang siapa yang Allah mengehendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk Islam.”

Nasihat ini mendorong kita untuk lebih yakin dengan pengawasan, perlindungan, kasih sayang dan pertolongan Allah SWT. Oleh itu buanglah rasa cemas anda, anggaplah ini sentuhan daripada Allah SWT untuk menguji anda dekat dengan-Nya atau jauh. Jika dekat maka janganlah bersedih dan susah hati sebab Allah Penyayang.

Ingat pesanan pepatah Cina ini, jangan menyeberangi jambatan sebelum anda sampai di jambatan itu, yang maksudnya jangan terlalu negatif terhadap apa yang belum terjadi, sampai anda benar-benar mengalaminya dan berasakan sendiri.

Jangan habiskan masa merenung masa depan yang getir tetapi bertindaklah dengan usaha bersungguh-sungguh hingga dapat dicontohi dan dikagumi oleh semua ahli keluarga. Gunakan prinsip ini, jika pagi tiba, jangan menunggu petang, dan jika petang tiba, jangan menunggu hingga waktu pagi…..ubahlah diri anda dulu sebelum anda mengubah orang lain.

Jadilah contoh yang dapat dicontohi. Insya-Allah anda akan bertemu dengan bahagia yang anda mahukan dan adik-adik anda akan terdorong untuk mengikut jejak anda.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s