USIA ISTERI LEBIH TUA?

USIA ISTERI LEBIH TUA?

Assalamualaikum..

Saya berhasrat untuk berkahwin dengan teman wanita saya yang berumur 29 tahun iaitu 3 tahun lebih tua daripada saya. Saya risau faktor perbezaan usia begini boleh mendatangkan masalah kepada rumahtangga yang bakal kami bina. Saya juga khuatir sekiranya keluarga saya tidak dapat menerima keputusan saya ini. Saya menjadi tidak yakin dengan keputusan saya kerana ada yang mengatakan bahawa banyak masalah yang akan timbul dalam rumahtangga pasangan seperti saya. Apakah benar kenyataan ini? Adakah terlalu pelik di mata orang lain sekiranya bakal isteri saya lebih tua daripada saya? bolehkah saudara/i memberi tips atau panduan yang boleh mengelakkan pandangan negatif ahli keluarga? Saya amat memerlukan dorongan bukan ugutan.

Sekian terima kasih

Bismillahirahmanirahim

Assalamualikum saudara semoga saudara di dalam rahmat Allah.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi menulis kepada pihak kami berkaitan dengan kesulitan yang saudara alami. Terlebih dahulu kami memohon maaf di atas kelewatan untuk membalas memandangkan surat yang mencurah-curah datang dan masa untuk membalas adalah terhad.

Saudara,
Saya mengucapkan tahniah kerana saudara telah ada calon untuk mendirikan rumah tangga, cuma saudara ragu dan khuatir takut harapkan hujan sampai ke petang, rupa-rupanya hanya setakat tengahari sahaja.

Marilah kita melihat kembali kepada pokok persoalan pertama iaitu umur bakal isteri saudara melebihi 3 tahun dari umur saudara. Saudara nampaknya gusar dengan keadaan umur bakal isteri saudara itu dan lebih mengusarkan lagi ialah ‘kata orang’ perkahwinan berbeza umur begitu ‘banyak masalah’ yang akan timbul.
Dan saudara juga mengatakan mungkin keluarga pihak saudara tidak dapat menerima keputusan yang sudara ambil.

Terdapat dua persoalan yang jelas di sini.
Pertama siapa yang nak berkahwin?
Kedua pastikah saudara ingin memilih bakal isteri saudara yang 3 tahun lebih tua dari saudara?

Cuba kita analisa soalan yang pertama.
Siapa yang nak kahwin? Saudara bukan. Sudah tentulah saudara berhak membuat pilihan hati saudara. Soal umur saya kira adalah soal pertimbangan saudara. Saudara sendiri boleh membuat pengiraan sama ada bakal isteri yang saudara pilih itu secocok atau tidak. Sekiranya saudara sendiri yang memikirkan bahawa umur begitu tidak sesuai maka saudara jugalah yang tahu sebab musababnya kerana saudara sendiri yang mengenali bakal isteri saudara itu. Adakah adil bagi saudara untuk meletakkan keputusan ‘bahagia atau tidak sesuatu rumah tangga itu’ terletak di tangan orang lain yang memberikan pandangan bahawa umur sebegitu akan mendatangkan banyak masalah? Apakah hak orang lain untuk menyatakan pendapatnya sedangkan saudara sendiri yang lebih mengenali hati budi bakal isteri saudara itu.

Pertanyaan kedua.
Adakah saudara sendiri pasti untuk memilih bakal isteri yang 3 tahun lebih tua dari saudara? Kalau saudara ingin memilihnya, atas alasan apa? Kasih sayang, baik budinya, sopan santunnya, lemah lembutnya, cantiknya, cintanya atau apa?
Kalau hanya kerana umurnya mungkin saudara tidak perlu menulis kepada saya, tinggalkan saja dia, saudara carilah orang yang lebih muda yang mungkin dikatakan oleh orang lain itu sebagai ‘tidak mendatangkan banyak masalah.’
TETAPI kalau ada faktor-faktor lain lagi yang membuatkan saudara jatuh hati padanya, sayang padanya, maka saudara boleh fikirkan pengorbanan dan kebahagiaan yang bakal akan dicapai nanti. Fikirkanlah masak2, umur hanyalah merupakan satu faktor dalam diri manusia yang saudara cintai. Saudara buatlah senarai semak. Sekiranya umur menjadi faktor utama, mungkin saudara tidak perlu berfikir panjang lagi untuk membuat keputusan, tetapi kalau umur menjadi faktor ke 5 atau ke 6, saudara boleh fikirkan sendiri tentang masa depan yang lebih bahagia bersamanya daripada bertanyakan kawan-kawan yang sentiasa bergurau dan bermain-main di dalam memberikan pandangan.

Tentang keluarga saudara, tepuk dada tanya selera. Saudara buat pilihan dan saudara tahu jawapannya. Kalaulah ibubapa saudara yang membuat semua pilihan untuk saudara, suruhlah mereka mencarikan seorang isteri untuk saudara kerana pilihan mereka mungkin lebih baik dari saudara. Bila saudara nak berdiri di atas kaki sendiri, berfikir untuk diri dan berfikir untuk kebahagiaan dan kesejahteraan kehidupan di dunia yang sementara ini. Buatlah keputusan dengan bijak. Saudara akan melangkah kaki ke alam berumahtangga. Pastikan saudara telah bersedia untuk memikul tanggungjawab dan bersedia untuk berfikir sendiri tentang masa depan saudara. Siapakah lagi orang yang terbaik untuk diajak berbincang tentang masa depan berumahtangga. Bakal isteri itulah. Tidak kira sama ada bakal iateri itu adalah dia atau orang lain, ia banyak bergantung kepada keberanian saudara untuk membuat pertimbangan untuk kebaikan diri saudara dan juga dia (tak kira sama ada dia yang sekarang atau dia yang lain).

Selamat menempuh hidup yang baru.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s