Isteri tertekan sikap curang pasangan, suka tabur fitnah

Isteri tertekan sikap curang pasangan, suka tabur fitnah

Soalan:
Saya sudah berumahtangga sejak lima tahun lalu dan belum dikurniakan anak. Walaupun baru merangkak-rangkak membina hidup, banyak yang saya lalui kerana sikap suami yang suka ‘berteman tapi mesra’ dengan ramai wanita pada satu-satu masa.

Sejak bertunang hinggalah sekarang, sikap suami tidak berubah. Sikap mesranya itu menyebabkan ada teman wanitanya yang berfikir sehingga ke tahap mahu kahwin. Syukurlah ke hadrat Ilahi kerana Dia menunjukkan kebenaran mengenai suami. Allah SWT banyak memberi petunjuk dan semua kecurangan suami, saya ketahui sendiri tanpa menerusi pihak ketiga.

Saya tahu perubahan sikap suami setiap kali dia berbohong. Mujurlah Allah SWT memberi kekuatan untuk berdepan teman-teman suami ini. Semua wanita-wanita itu saya hubungi dan secara baik, memohon mereka tidak mengganggu rumah tangga saya dan turut memohon maaf bagi pihak suami walaupun ada di antara mereka menghina saya kerana masih belum memberi zuriat kepada suami.
Sedihnya, sikap suami sendiri yang melemparkan pelbagai fitnah terhadap diri ini. Saya dituduh mengikis harta dan pilihan keluarga. Ini membuatkan saya lebih tertekan lagi. Saya sayangkan rumah tangga ini tetapi saya memerlukan kekuatan untuk menghadapi semua dugaan ini. Bantu saya untuk menghadapi situasi ini.

Isteri Lara


Jawapan:
SALAM ketabahan buat isteri lara. Luahan hati yang dihidangkan buat saya adalah hidangan yang sudah bertali arus dalam masyarakat di mana saja sekarang ini. Situasi ini timbul dan membiak kerana kita wanita sangat sayang dengan istana cinta yang di bina hingga sanggup melakukan apa saja walaupun terpaksa menderita jasad dan emosi malah kadang-kadang sanggup mengenepikan dan melanggar perintah Tuhan asalkan dapat melintasi mempertahankan gerbang perkahwinan yang dibina.

Apa yang puan hadapi sekarang adalah buah daripada sikap tidak berhati-hati memilih pasangan dari segi pegangan dan amalan agama pasangan, mungkin kerana terpesona dengan imbauan silau warna perasaan cinta yang membuak lalu mengalahkan pertimbangan fikiran dan membutakan pandangan pada semua keburukan.

Puan sudah tahu dia berkelakuan kaki perempuan sejak dari sebelum berkahwin itu bermakna dia tidak berpegang pada prinsip hidup beragama yang kuat. Namun puan terima juga dan terpaksa memerangi sikap suami yang sudah menjadi satu ketagihan kepadanya. Hakikatnya, ketagihan perempuan tanpa nikah ini lebih teruk daripada ketagihan rokok atau dapat disamakan penagih dadah.

Bila tidak dapat, dia menjadi insan yang tidak sempurna hidup dan sanggup melakukan apa saja demi mendapatkannya. Malah puan sebagai isteri tidak akan mampu menahan kemahuan dan ketagihannya kecuali Allah SWT. Keadaan diburukkan lagi dengan ketiadaan zuriat. Puan rasa bersalah dan malu dengan keadaan ini. Itu adalah sikap yang salah puan. Ketiadaan zuriat bukan salah puan seorang tapi kesalahan kedua-dua pihak suami dan isteri.

Kecuali puan dan suami sudah melakukan pemeriksaan lanjut bagi mengatasi masalah ini dan punca bukan hanya pada puan saja, kemungkinan lain ada suami puan mandul. Jika sudah disahkan yang alat peranakan puan baik dan tiada masalah haid manakala alat kelamin suami juga berfungsi dengan baik dan pundi telurnya sihat, maka kemungkinan untuk mendapat anak itu tinggi.

Kecuali Allah SWT menetapkan puan dan suami belum layak dari segi kelakuan, pemikiran dan tindakan untuk menjadi ibu dan ayah. Pengalaman saya dengan pelanggan yang sudah dipastikan pundi telur suaminya kosong dan tidak berfungsi dan keupayaan mendapat anak tidak ada, tapi atas doa dan keyakinannya pada Allah Yang Maha Berkuasa, Maha Pengasih dan Maha penyayang serta Maha mendengar rintihan hambanya, akhirnya dia memiliki tiga anak. Oleh sebab itu puan berusahalah mendekati Allah SWT sehingga anda berasa Allah benar-benar mendengar doa dan harapan yang anda panjatkan dengan hati yang benar-benar ikhlas kepada Allah SWT, menangislah kepada-Nya dan sujudlah sekerap dan sebanyak-banyaknya hingga anda merasakan kedamaian hati yang tidak terkata.

Pada saat sebegini, semua penderitaan yang puan tidak mampu mengubahnya akan menjadi seperti melihat sinar mentari atau rintik hujan atau seperti hembusan bayu yang melintasi anda. Keyakinan seperti ini akan membuat hati anda berasa tenteram dengan keadilan-Nya.

Barang siapa yang hartanya dirampas sama ada bentuk fizikal mental dan emosi ketika di dunia, maka dia akan mendapatkannya di akhirat. Barang siapa di dizalimi di dunia, maka janji Allah SWT dia akan mendapat perlakuan yang adil di sana dan barang siapa melakukan kejahatan di dunia ini, maka dia akan disiksa di sana.

Jika ini diyakini, pasti puan mampu menjalani hidup dengan tenteram, kerana puan masih ada rumah yang melindungi, ada makanan yang boleh disuap dan masih ada pakaian untuk diganti, masih boleh bernafas dengan baik ,matanya masih boleh melihat siang dan malam, telinga masih mendengar suara azan dan kaki masih boleh berdiri untuk solat, maka hargailah itu.

Jangan runsing perangai suami. Jika puan tidak mampu mengubahnya, jangan kecewa, biarkan dia dengan dunianya selagi anda mampu tinggal bersamanya dengan tenang. Jika sudah habis sabarnya dan sudah tercabut kegembiraan sebagai isteri, maka usahakan jalan berpisah, andainya anda mampu hidup berdikari dan sendiri.

Jika tidak, lalui dan terima kelakuan suami dengan tenang sebagai ujian Allah SWT dan teruskan menjalankan tugas sebagai isteri semampu mungkin. Berusahalah mencari aktiviti yang membuat masa puan terisi dan minda puan ada yang nak difikirkan. Akhir sekali, lihatlah kanan dan kiri anda akan menyaksikan betapa ramainya orang yang mendapat cubaan Allah SWT.

Akur dan terima dugaan ini. Bukan puan seorang, malah hampir setiap rumah pasti ada rintihan membabitkan soal rumah tangga ini. Oleh itu, jika mampu berdikari dan hidup tanpa suami, maka usahakan diri untuk lepas daripada rumah tangga yang sudah bertukar jadi neraka. Terimalah hakikat anda bukan satu-satunya orang yang mendapat cubaan, malah mungkin ada cubaan yang dialami insan lain jauh itu lebih teruk berbanding nasib puan. Cuba puan bayangkan berapa banyak orang di dunia ini yang terbaring sakit di katil selama bertahun-tahun.

Oleh itu lihatlah ke dalam diri anda yang sedang diuji Allah SWT dengan cubaan duri-duri kecil saja. Maka kembalilah kepada-Nya dan dekati dengan orang yang dapat membantu anda dekat dengan-Nya. Timbulkan perasaan yang puan lebih beruntung jika dibandingkan dengan penderitaan dan dugaan sarat orang lain. Maka panjatkanlah segala pujian kepada-Nya di atas semua kebaikan-Nya selama ini dan bersyukurlah. Yakinlah kemuliaan dan kebaikan anda akan dibalas Allah SWT dengan yang lebih baik…Insyaallah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s