Pemuda diusir bapa gara-gara jatuh hati ibu tiri sendiri

Pemuda diusir bapa gara-gara jatuh hati ibu tiri sendiri

SAYA lelaki berusia 21 tahun. Ibu meninggal dunia ketika saya berusia 15 tahun. Baru-baru ini bapa saya berkahwin dengan ibu tiri yang umurnya 25 tahun. Ibu tiri saya baik, cantik dan saya jatuh hati kepadanya. Malangnya, ayah saya mendapat tahu dan bertindak menghalau saya dari rumah. Saya keliru dengan perasaan sendiri. Apa pendapat umi?

Anak Papa


//

JAWAPAN

SALAM kasih sayang buat Anak Papa. Wahai jejaka, jatuh hati adalah sebahagian proses kehidupan tidak kiralah yang tua atau pun muda. Malah berkasih sayang adalah matlamat dalam kehidupan.

Namun apa yang menimpa anda adalah perkara biasa tapi sayang, anda jatuh hati pada yang sudah berpunya. Lebih malang lagi, jatuh hati kepada ibu tiri sendiri. Di sini Umi perturunkan perintah Allah SWT dalam al-Quran “dan, janganlah kamu menikahi wanita-wanita yang sudah dinikahi oleh ayahmu, sesungguhnya perbuatan itu amat keji dan dibenci Allah SWT dan seburuk-buruk jalan (yang di tempuh) (QS An-Nisaa’:22).

Ini bermakna wanita bersuami ini termasuk golongan wanita yang haram dinikahi kerana mereka berada di bawah perlindungan dan tanggungan lelaki lain iaitu di dalam pemeliharaan suami mereka.

Keterangan ini amat jelas dari segi larangan Allah SWT. Maka, sebagai seorang hamba Allah SWT anda harus belajar berterima kasih dengan ayah anda yang sanggup hidup membujang selama tujuh tahun untuk membolehkan anda membesar dalam keadaan tidak diganggu oleh pengaruh ibu tiri sehinggalah anda mencecah usia dewasa.

Pengorbanan ini amat besar bagi seorang lelaki yang berusaha sendirian membesarkan anaknya. Malah disebabkan itu dia sanggup mengenepikan kepentingan diri demi kebahagiaan anak. Kebanyakan suami yang kematian isteri, sibuk mencari pengganti biarpun tanah kubur masih merah. Tetapi ayah anda sebaliknya sangat sayangkan anda, setia cintanya pada ibu anda atas alasan itu dia sangat berhati-hati dan mengambil masa sebegitu lama untuk menempatkan calon yang benar-benar sesuai.

Cuba bayangkan bagaimana ayah anda yang sebegitu sabar merancang keluarganya demi kebahagiaan semua tetapi tiba-tiba anda pula yang menjadi racun dalam keluarga atau ringkasnya duri dalam daging. Sudah pasti hancur luluh hati ayah di atas apa yang anda lakukan terhadapnya. Dan lebih parah lagi, anda derhaka dengan Allah SWT yang balasannya neraka jahanam.

Mungkin ini menjadi penyebab utama ayah anda menjadi terlalu sedih, pilu serta terkilan sehingga sanggup mengusir anda dari rumah kerana anda sudah ‘duri’ dalam hidupnya. Bagaimana anda tergamak melakukan ini terhadap ayah yang selama ini mendidik anda tanpa kehadiran ibu dan membesar panjang sehingga ke usia sekarang. Apa yang terjadi sebenarnya tidak wajar dilakukan oleh seorang anak kandung terhadap bapanya sendiri. Malah ini boleh dianggap satu tragedi dalam keluarga.

Oleh itu Umi cadangkan agar anda pertamanya, menginsafi kesalahan yang sudah anda lakukan dengan sebenar-benar keinsafan dan bertaubat dengan Allah SWT. Mohon maaf dengan ayah dan ibu tiri anda. Kedua, belajar mengawal perasaan sendiri dengan cara menyedari, mengakui dan menerima hakikat yang wanita itu adalah ibu tiri anda yang tidak jauh bezanya dengan ibu anda.

Maka penghormatan yang harus diberikan mestilah sama dengan cara anda menghormati ibu anda sendiri biarpun bezanya dia tidak melahirkan anda dan tidak mengasuh anda. Perasaan jatuh hati yang anda alami ini haruslah dibataskan kepada kebaikan yang diberikan ibu tiri kepada anda selaku anaknya. Sikap ini tidak salah kerana dia tidak mahu dipandang sepi oleh anak tiri yang hanya ditemui hanya selepas anda sudah pun memasuki alam kedewasaan.

Malangnya, kebaikannya dan mungkin juga kerana terpaut dengan kejelitaannya itu hanya disalahertikan anda yang melihat ibu tiri daripada perspektif berbeza. Dia anda ibaratkan orang asing dan melihatnya dari kaca mata dan dorongan nafsu serta keinginan seorang lelaki terhadap seorang perempuan. Ini menyebabkan anda hanyut dibuai rasa sendiri hinggakan terlupa dia adalah isteri ayah anda. Gelinciran perasaan yang berlaku itu menyebabkan anda melihat layanannya bukan daripada seorang ibu kepada anak, tetapi kekasih kepada teman istimewa.

Sebenarnya, jika diperincikan, sikap dan layanan baik ibu tiri itu benar dan wajar kerana dia mahu mengambil hati anda agar anda dapat menerimanya sebagai ahli keluarga di rumah itu.

Jika itu situasi yang berlaku, maka belajarlah daripada kesalahan kerana anda anak muda yang pasti baru berjinak dengan ayat cinta kepada gadis, apatah lagi anda sudah lama kehilangan sentuhan manja dan pelukan ibu. Tetapi, cuba tangani perkara ini dengan bersikap rasional. Berpijaklah di alam nyata. Terlalu banyak gadis cantik yang pasti anda temui dalam perjalanan mendewasakan diri anda kelak, jika anda rajin berdoa. Malah jika anda selalu mendekatkan diri dengan Allah SWT pasti Dia ketemukan dengan gadis yang lebih cantik daripada ibu tiri anda.

Jangan bertindak terburu-buru untuk jatuh hati kelak jatuh ke tanah gersang dan akhirnya anda menuai kekecewaan akibat terlalu cepat dan mudah jatuh cinta. Yakinlah, setiap yang dilahirkan di dunia ini sudah ditentukan pasangannya. Sesungguhnya al-Quran memberi petunjuk ke jalan lebih lurus dan selain penyembuh semua penyakit jiwa. Oleh itu, jatuh hatilah dengan Allah SWT, al-Quran dan diri sendiri terlebih dulu sebelum jatuh hati dengan orang lain. Selamat bertaubat dan mohonlah keampunan ayah dan Allah SWT.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s