Remaja terlanjur mahu berubah, kekasih tidak endah

Remaja terlanjur mahu berubah, kekasih tidak endah

SAYA berusia 18 tahun dan mengenali A sejak tiga tahun lalu. Kami pernah terlanjur dan meneruskan perbuatan terkutuk itu sepanjang tempoh tiga tahun berkenaan. Saya sedar, sudah begitu lama saya hidup bergelumang dosa dan ingin berubah. Saya sudah memaklumkan A mengenainya tetapi reaksinya tidaklah seperti yang saya harapkan.

Kami membuat keputusan agar jarang berjumpa dan saya berharap dia ingin berubah. Malangnya, harapan saya itu tidak kesampaian. Apa yang perlu saya lakukan? Adakah saya perlu meninggalkannya?

Ingin Berubah.


SALAM keinsafan buat anda yang mendapat hidayah Allah SWT. Tahniah dan didoakan agar terus kuat membangunkan pendirian melangkah ke hadapan mencari dunia dan menjejaki akhirat. Kesedaran ini tidak diberikan kepada semua orang, jadi anda pilihan Allah SWT yang mahu menyelamatkan anda daripada terus tersasar dan terbenam dalam dosa besar.

Persoalan ini memerlukan anda supaya kuat agar kuat membuat keputusan, kerana dalam apa keadaan dan syarat pun, anda paling berhak membuat pilihan menentukan cara hidup yang anda mahu. Anggaplah apa yang sudah dilakukan itu sebagai satu bilik gelap yang pernah anda masuk dan kini Allah SWT menitiskan kasih sayang-Nya di hati anda untuk keluar ke alam yang terang dan bersih. Ini disebabkan Allah SWT sangat hampir dengan kita dan lebih dekat berbanding anda dengan kekasih atau ibu bapa anda. Jika anda melakukan kesilapan di belakang ibu bapa, mereka tidak tahu tapi sebagai orang yang dipilih-Nya, yakinlah bahawa Dia melihat semua yang anda lakukan tapi atas dasar Maha Penyayang.

Dia menutup keburukan anda daripada pengetahuan orang lain termasuk ibu bapa anda dan keluarga, tapi anda tidak mampu menutupnya seumur hidup kerana Dia tidak mahu kita terus bergelumang dosa. Allah SWT mahu kita bertaubat dan kembali beriman kepada-Nya yang menjadikan kita, membenarkan kita bernyawa dan anggota yang dipinjamkan yang pasti perlu dipulangkan apabila ajal menjemput kelak. Itulah hakikatnya, sama ada bersedia atau tidak.

Alhamdulillah, berpandukan cerita yang anda kongsi, sudah terlalu lama anda bergelumang dosa maka kini Allah SWT sudah meletakkan anda di sempadan untuk keluar daripada perangkap dosa itu.

Atas kemahuan-Nya serta rasa kasih-Nya ke atas hamba-Nya, ia sudah menjamah hati anda untuk keluar daripada belenggu derita batin yang hanya akan membunuh masa depan anda. Jika anda sudah berada dalam sentuhan kasih sayang Allah Yang Maha Esa, maka pilihlah jalan keluar ini dengan penuh yakin bahawa penderitaan anda akan berakhir.

Keluarlah sama ada bersama si dia atau tanpa si dia. Sudah sudahlah kerana yang dipaparkan kepada anda adalah sikap sebenar kekasih anda. Dia terbukti tidak hanya menghargai anda malah tidak mencintai anda sesuci hati, kerana itu dia sanggup menodai anda dan membuat anda sesuka hati tanpa melalui saluran yang benar.

Dengan kata lain, dia sanggup menghina anda dan tidak menghormati keluarga anda dengan meragut kesucian diri anda walaupun mungkin pada awalnya, perbuatan itu atas persetujuan bersama. Malangnya, tiada usaha daripadanya untuk menyelamatkan baik diri anda mahu pun dirinya. Jauh sekali untuk bertaubat dan keluar daripada masalah itu.

Justeru, nasihat Umi, sayangilah diri anda terlebih dulu sebelum anda menyayangi orang lain. Anda tidak mungkin mampu menyayangi orang lain jika anda tidak menyayangi Tuhan anda terlebih dulu. Ia sememangnya satu perkara yang paling merugikan jika anda menyayangi orang yang terbukti selama ini tidak menghormati anda mahu pun mentaati Allah SWT.

Selama ini anda mencintainya tapi tidak mencintai Allah SWT. Tetapi, harapan untuk berubah sudah terbentang di depan mata dan diselamatkan Allah. Bersyukurlah, belajarlah dari kesalahan dan bina gaya hidup baru yang lebih bersih. Ingatlah Allah SWT sudah berjanji:

“Dan, pasti Kami akan tunjukkan mereka kepada jalan yang lurus.” (QS An-Nisa’ :68).

Selain itu, Allah SWT juga ada berfirman, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih QS Ibrahim:7). Oleh itu, tinggalkanlah orang yang merosakkan hidupmu kerana kelak Dia pasti menggantikannya dengan yang lebih baik lagi. Bersabarlah dan banyakkan doa kepada-Nya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s