Sukar runding hal anak akibat campur tangan isteri bekas suami

Sukar runding hal anak akibat campur tangan isteri bekas suami

Soalan:
Saya berusia 33 tahun, sudah berpisah dengan suami, Y tiga tahun lalu. Saya sudah berkahwin lain dan Y juga berkahwin semula tetapi hubungan kami baik apatah lagi ada anak bersama. Masalahnya, setiap kali kami hendak berbincang masalah anak-anak seperti soal pendidikan, sekolah tambahan dan sebagainya, kami terpaksa berhubung melalui isteri Y. Perancangan untuk anak-anak kami diputuskan isteri Y dan bukan kami semata-mata kerana dia cemburu untuk membenarkan saya dan Y berkomunikasi. Apa harus saya buat?

Puan Nadia

Jawapan:
Puan Nadia yang ragu-ragu. Hidup ini perjuangan puan, sebab itu kita tidak pernah berhenti untuk berubah dan mengubah situasi agar hidup menjadi lebih membahagiakan.

Malah, pepatah Melayu ada mengatakan ‘patah tumbuh hilang berganti’ tetapi puan sebaliknya juga perlu sedar yang patah akan tumbuh tetapi tumbuhnya tidak sama dengan yang patah dan gantinya tidak sama dengan yang hilang. Atas kesedaran inilah maka isteri bekas suami anda tidak membenarkan anda bercakap dengan suaminya. Mungkin dia bimbang akan berputik semula rasa akrab, rasa dekat dan berbagai rasa lagi di hati anda berdua biarpun hanya membincangkan urusan anak.

Ini disebabkan manusia kadang kala bertemu penyesalan, bertemu rasa bersalah dan akhirnya menyatakan kekesalan lalu memohon kemaafan dan mengekalkan hubungan mesra atas dasar urusan anak. Tidak salah untuk anda berurusan dengan bekas suami tetapi perlu diingat, isteri bekas suami anda juga ada hak membenar atau menyekat anda menghubungi suaminya.

Sebagai isteri, dia juga berhak mengetahui perancangan anda dengan bekas suami kerana turut membabitkan perbelanjaan rumahnya dan mungkin juga hak anaknya sekarang. Salah sebenarnya jika anda terus menerus membincangkan soal anak dengan panjang lebar di hadapan isterinya, kerana si isteri mungkin beranggapan mereka tidak mahu diganggu ketika itu. Oleh itu, anda harus berasa lega apabila masih dibenarkan bercakap dengan bekas suami dan terimalah itu sebagai hadiah Allah SWT kerana ada kes yang mana bekas isteri tidak dibenarkan menghubungi bekas suaminya sama sekali.

Mungkin itu perjanjian yang dipersetujui isteri sebelum bekas suami anda berkahwin semula. Sebab itu dalam proses perceraian, mahkamah menegaskan tanggungan nafkah yang harus dibiayai ayah ke atas anaknya ditentukan di mahkamah dengan jelas agar tidak berlaku lagi hubungan yang boleh mendatangkan prasangka oleh isteri baru.

Sedari awal lagi, mungkin dia menegaskan peraturan perhubungan anda dengan suaminya dengan harapan akan terhindar perhubungan yang boleh menjejaskan kebahagiaannya dengan suami. Fahami ini puan, hilangkan prasangka buruk anda kepada isteri bekas suami agar anda dapat menjalani hidup dengan aman dan tenteram. Andai ada perkara penting yang perlu dikongsi dengan bekas suami maka datanglah untuk berbincang secara terbuka, misalnya meminta bekas suami datang ke rumah anda ketika suami anda ada. Atau berjumpalah di tempat kerja dan menjaga adab sebagai bukan mahram atau berhubung melalui telefon, Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), surat atau emel saja agar tidak menyinggung mana-mana pihak.

Jika ini dapat dijaga, hubungan puan bersama bekas suami tidak akan terjejas dan boleh terhindar daripada sebarang buruk sangka oleh pihak isterinya. Belajarlah memahami perasaan orang lain sebelum kita mahu orang lain memahami perasaan kita, dan belajarlah menghormati pendirian dan prinsip hidup orang lain sebelum orang lain dapat memahami kita.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s